Senarai muktamad calon BN telah diserah kepada PM

0

KUCHING: Senarai muktamad calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) telah di-serahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN Pusat.

Setiausaha BN Negeri Datuk Stephen Rundi Utom mengesah-kan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas perjumpaan antara pemimpin BN Negeri bersama Najib di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Beliau yang enggan mende-dahkan sebarang maklumat dan bayangan mengenai senarai tersebut berkata ia hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri apabila tiba masanya untuk PRU13.

“BN Sarawak telah menyerah-kan senarai calon dan ia telah di-bincangkan sebelum ini bersama Perdana Menteri,” jawabnya ringkas.

Susulan PRU13 yang semakin hampir, Rundi turut menjelaskan bahawa jentera BN Negeri kini sedang mengumpul setepat mungkin janji-janji yang telah BN berikan kepada rakyat pada masa lampau.

Amanah ini katanya telah dinyatakan oleh Perdana Menteri sendiri pada perjumpaan itu semalam di mana beliau mahu BN Negeri memastikan janji-janji yang telah diberikan kepada rakyat ditepati.

“Perdana Menteri ketika perjumpaan bersama pemimpin BN Negeri hari ini (semalam) telah mengarahkan jentera BN untuk mengumpul setepat mungkin apa-apa janji yang telah kita berikan pada masa lampau untuk ditepati.

“Ini menurut Perdana Menteri adalah penting kerana rakyat telah menunggu janji-janji daripada BN ini dan kita akan menepati janji-janji ini,” katanya.

Mengulas mengenai tahap persediaan BN menghadapi PRU13, Rundi berkata persiapaan BN Negeri telah berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk bertanding pada bila-bila masa.

Keyakinan yang sama turut dinyatakan oleh Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom di mana beliau percaya BN Negeri dapat bekerjasama dan memberi fokus sepenuhnya dalam menghadapi PRU13.

“Semua jentera pilihan raya BN Negeri berusaha untuk kemenangan dan mengetepikan percanggahan demi mencapai kemenangan.

“Kami  kini telah berada pada tahap paling bersedia dan pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Tidak ada perkara lain yang dapat mengatasi matlamat BN untuk memperoleh kemenangan pada PRU13,” ujarnya yakin.

Sementara itu Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Abdul Rahman berkata banyak pesanan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri dan beliau berharap agar rakyat bijak memilih kerajaan yang akan memimpin negara ini.

“Daripada apa yang kita lihat, Perdana Menteri telah bersungguh-sungguh membela rakyat dan banyak pembangunan serta peruntukan disediakan kepada rakyat.

“Sebagai wakil rakyat saya amat berterima kasih ke atas peruntukan yang telah disediakan dan berharap rakyat akan sentiasa menyokong BN,” ujarnya yang ditemui semalam.