Sokongan padu rakyat terhadap Najib memberi inspirasi menghadapi PRU13

0

MIRI: Sokongan padu rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan Tahun Baharu Cina ke Sarawak, khususnya di sini dapat memberi inspirasi kepadanya terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting selaku pengerusi penganjur untuk kedua-dua acara yang dirasmikan oleh Najib di sini berkata, beliau kagum dengan maklum balas dan kedatangan orang ramai yang begitu memberangsangkan.

Beliau berkata, lebih 5,100 orang menghadiri makan malam Tahun Baharu Cina di Eastwood Valley Golf & Country Club, manakala 5,000 pada majlis perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tudan dan 2,000 lagi di Lapangan Terbang Miri.

“Ini merupakan saat yang menggembirakan bagi warga Miri bukan sahaja kaum Cina, malah kaum-kaum lain. Mereka mahu mendengar beliau (Najib) bercakap mengenai pembangunan dan kemajuan negara yang mencapai petumbuhan ekonomi sebanyak 6.4 peratus pada tahun lalu.

“Apa yang menarik, rakyat di sini menghormati beliau dan mereka tidak berganjak sehingga acara selesai. Kami mahu agar beliau terus memimpin negara ini sebagai perdana menteri pada pilihan raya akan datang,” katanya mengulas lawatan Najib ke Miri Rabu lalu.

Turut mengiringi Najib ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Dalam pada itu, Sebastian gembira dengan kelulusan dua projek pembinaan sekolah di Parlimen Miri iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tudan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan dan 500 unit rumah di bawah projek Skim Perumahan Rakyat.

Penyandang Parlimen Miri ialah Chin manakala Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Sebastian dijangka bertanding menggantikan Chin yang sebelum ini mengumumkan akan bersara.

Terdahulu, Sebastian meng-adakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke beberapa kediaman termasuk ketua masyarakat, Kapitan Lai Tze Wen dan Ahli SUPP Chan Cheong Weng (Naib Pengerusi Piasau) Melinda Chan, Hii Chang Hoon, Siew Ted Cai dan Eksekutif Acara Bintang MegaMall, Allen Wong.