SPDP terima 180 lagi permohonan keahlian bekas ahli PKR

1

KUCHING: Parti Demokra­tik Progresif Sarawak (SPDP) semalam menerima 180 lagi permohonan keahlian dari­pada bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR). Setiausaha Agung SPDP Datuk Nelson Balang Rining berkata, bekas ahli PKR berkenaan ingin bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) melalui SPDP demi kemenangan di Saratok pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Jelasnya, satu lagi permo­honan keahlian dari Saratok bakal dihantar oleh kumpulan yang sama kepada Presiden parti Tan Sri William Ma­wan Ikom dan Naib Presiden Kanan Datuk Jacob Dungau Sagan pada Jamuan Malam Perpaduan SPDP yang akan diadakan di Miri, Ahad ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui bilangan per­mohonan ketiga yang bakal diterima kelak, tetapi tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dengan perubahan sokongan yang ditunjukkan oleh bekas ahli PKR terse­but.

“Mereka (defektor PKR Saratok) kini menyedari ba­hawa hanya BN boleh men­yalurkan pembangunan di kawasan luar bandar yang mana tidak mampu dibuk­tikan oleh PKR.

“Atas sebab itu, mereka mahu bekerjasama dengan BN menerusi SPDP untuk kali ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti di sini, semalam.

Balang berkata, penyerahan lebih daripada 180 permo­honan keahlian yang diterima semalam adalah susulan daripa­da kumpulan 65 permohonan yang pertama dua minggu lepas di mana kebanyakan mereka adalah dari kawasan di mana BN kalah teruk pada pilihan raya negeri lepas iaitu Kabong dan Paloh.

Ditanya kesahihan mereka adalah ahli-ahli PKR, salah seorang daripada defektor Yusof Mashen berkata, mereka tidak boleh menampilkan bukti menggunakan dokumen.

Tetapi, katanya, mereka telah diminta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Ali Biju untuk menubuhkan cawangan di Kabong, Saratok.

Selepas menubuhkan cawangan, mereka menganggap semua proses yang diperlukan dalam menubuhkan cawangan adalah dilakukan oleh PKR.

Satu lagi bukti bahawa mereka adalah bekas ahli PKR ialah, pemimpin PKR negeri Datuk Habsah Harun dan Wan Zainal Wan Sanusi meminta mereka kembali kepada PKR atau sekurang-kurangnya mempertimbangkan semula tindakan mereka, kata Yusof.

Yusof percaya, senarai ahli-ahli jawatankuasa cawangan mereka telah dihapuskan oleh PKR memandangkan mereka tidak lagi diperlukan oleh parti.

Turut hadir pada sidang media semalam, Naib Presiden SPDP Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Kijan Tonybee yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) serta ahli MT yang lain iaitu Ali Udin dan Maslinda Hamidon termasuk Pengerusi SPDP Pending Athanasius Chua.