SUPP dicabar terus bersatu, ketepi perbezaan

0
‘YEE SANG’: Najib (empat kanan), Taib (lima kanan), Chin (enam kanan), Rosmah (tiga kanan), Ragad (dua kanan) serta pemimpin lain mengetuai 10,000 orang melakukan ‘Yee Sang’,yang disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai bilangan terbesar.

‘YEE SANG’: Najib (empat kanan), Taib (lima kanan), Chin (enam kanan), Rosmah (tiga kanan), Ragad (dua kanan) serta pemimpin lain mengetuai 10,000 orang melakukan ‘Yee Sang’,yang disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai bilangan terbesar.

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dicabar supaya terus bersatu bagi memberi ruang kepada mereka terus menjadi sebuah parti pilihan kepada rakyat khasnya masyarakat Cina di negeri ini.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, SUPP seharusnya mengetepikan segala perbezaan dalaman yang berlaku terutama untuk meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“SUPP perlu bersatu dan saya mahu anda ketepikan segala perbezaan dalaman yang berlaku kerana apabila bersatu maka baharulah parti akan terus dihormati oleh rakyat.

“Saya mencabar ini kepada SUPP dan jadikan SUPP sebagai parti komponen BN yang disegani.

“Fikirkan masa depan Malaysia, BN serta SUPP dalam semangat sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan Pra-Chap Goh Meh anjuran SUPP yang dihadiri isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib dan Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin di Bandar Baharu Batu Kawa di sini, malam kelmarin.

Najib berkata, masyarakat Cina memainkan peranan yang signifikan kepada negara terutama untuk mencapai ke arah negara maju.

“Kita memerlukan masyarakat Cina dalam pentadbiran kerajaan dan merangka dasar-dasar negara serta menentukan perjalanan atau agenda transformasi negara demi mencapai status negara maju.

“Maka itu pada PRU nanti, kita berharap masyarakat Cina tidak memperjudikan masa depan negara demi anak dan cucu kerana sekiranya kita membuat kesilapan ia membawa kemunduran dan sukar sekali dipulihkan,” tegasnya.

Perdana Menteri berkata malah kerajaan sentiasa mahu melibatkan diri dengan masyarakat Cina, yang telah banyak mendapat manfaat melalui dasar-dasar BN selama ini, termasuk bidang pendidikan iaitu sekolah aliran Cina.

Berhubung permintaan daripada presiden SUPP berkaitan pendidikan Cina di negeri ini, katanya beliau akan mempertimbangkan perkara itu serta memberi maklum balas sewajarnya.

Sementara itu Taib dalam ucapannya berkata, SUPP memainkan peranan besar dalam pembangunan terutamanya pendidikan kepada kaum Cina di Sarawak.

“Kita tahu bahawa banyak Sekolah Cina telah ditubuhkan dan ini semua adalah usaha pemimpin-pemimpin SUPP, yang menjaga keperluan masyarakat Cina termasuk pendidikan generasi akan datang,” tegasnya.

Sehubungan itu Taib mahu parti itu terus kukuh selain mendapatkan sokongan di peringkat akar umbi agar mereka menjadi sebuah parti pilihan kepada masyarakat Cina di Sarawak.

“Kini sudah tiba masanya kepada SUPP untuk melakukan sesuatu bagi mengukuh serta mendapatkan sokongan daripada rakyat terutama semua masyarakat Cina.

“Ia boleh ditunjukkan melalui PRU akan datang ini dan saya mahu anda bersama-sama memberi mandat kepada Perdana Menteri dan BN pada PRU ini,” tegas Taib.

Majlis makan malam yang turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai bilangan terbesar iaitu 10,000 orang melakukan ‘Lou Yee Sang’ (melambung Yee Sang) dihadiri lebih 10,000 pengunjung, turut dihadiri menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan.