BI mungkin mata pelajaran wajib lulus peringkat SPM

0

KOTA KINABALU: Kerajaan sedia mengkaji kemungkinan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun saranan itu hanya akan dilaksanakan apabila pelajar dan sistem pembelajaran telah bersedia.

“Ramai memberitahu kepada saya, walaupun pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah sudah baik tetapi ada yang cakap ini belum cukup dan perlu ada usaha untuk tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di seluruh negara.

“Mungkin dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, kita akan menetapkan supaya lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM menjadi satu perkara yang wajib… mesti lulus,” katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Guru Muda Malaysia yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Likas, dekat sini semalam.

Bagi mencapai tujuan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementeriannya akan menentukan terlebih dahulu “guru yang opsyennya Bahasa Inggeris dapat mendidik anak-anak ilmu bahasa supaya ia dapat menguasai bahasa Inggeris seperti apa yang dicapai di negara maju di dunia pada hari ini.

” “Begitu juga dengan bidang Sains, Matematik dan Bahasa Melayu.  Bahasa Melayu kita tidak boleh abaikan.  Bidang-bidang seperti ini kita harap akan diberi perhatian,” katanya.

Muhyiddin berkata dalam Pelan Pendidikan Negara yang dimulakan sekarang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan murah hati menyediakanperuntukan RM500 juta untuk digunakan bagi melatih guru dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Yang ini kita akan utamakan sebelum yang lain kita laksanakan dalam tempoh akan datang. Maka inilah cabaran besar yang saudara Guru Muda 1Malaysia harus pikul.

“Yang nak tentukan sama ada sistem kita ini berjaya bergantung kepada guru muda. Saya harap perhimpunan ini tidak terhenti di sini sahaja, kita akan teruskan, bagaimana nak teruskan kita akan bincangkan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata perhimpunan itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada kepimpinan Kementerian Pelajaran berinteraksi dengan guru mudayang sudah lama berkhidmat di kementerian.

Katanya sekitar 49.5 peratus daripada tenaga guru di seluruh negara adalah mereka yang berusia antara 21 dan 35 tahun dan ini bermakna kumpulan itu agak besar yang berperanan penting dalam menentukan kejayaan sistem pendidikan negara terutama membimbing anak-anak menjadi generasi berilmu dan berpengetahuan. “Ini suatu tugas yang amat penting yang dipikul oleh guru-guru. Sebab itu, kita mahu supaya peranan yang dipikul itu terus dipertingkatkan, diperkukuhkan lagi dan diperkuatkan lagi agar cita-cita kita untuk melahirkan atau generasi masyarakat Malaysia yang terdidik akan tercapai.

“Ini kerana dalam tempoh tinggal tujuh tahun lagi kita akan masuk dalam ambang penting dalam sejarah pembangunan negara iaitu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri,” katanya.
Muhyiddin berkata meskipun bukan perkara mudah tetapi akan menjadi lebih mudah kalau ditanam iltizam, kesanggupan untuk memikul apa sahaja tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan. — Bernama