Nilai hartanah di pusat bandar raya Kuching mencecah lebih RM2 juta

0

KUCHING: Nilai hartanah di Jalan Mahkamah Lama di sini mencecah lebih RM2 juta tahun lepas kesan daripada pembangunan dan pertumbuhan pesat aktiviti perniagaan di sekitar kawasan ini.

Pengerusi Kawasan Beli-belah Pejalan Kaki Lebuh India Datuk Wee Hong Seng berkata peningkatan berganda nilai hartanah di pusat bandar ini didorong oleh perubahan persekitaran yang mana kini lebih kondusif dan lancar selain kemunculan pusat beli-belah yang baharu.

“Pemilik kedai di pusat bandar ini terutama di Lebuh India seharusnya menyedari berapa nilai hartanah anda kini.

“Saya membeli lot kedai Fabriko saya pada 1989 sekitar RM450,000.

“Jika saya bercadang untuk menjualnya kini, saya yakin ia boleh dijual lebih daripada RM2.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran bersama Persatuan Masyarakat Pusat Bandar Kuching, Plaza Merdeka Holdings dan Persatuan Kawasan Beli-belah Pejalan Kaki India Street di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin.

Sebagai langkah merancakkan lagi aktiviti perniagaan di sekitar Lebuh India dan Mahkamah Lama, pihaknya akan mewujudkan lebih banyak lot parkir motosikal serta kawasan pemunggahan dan kawasan bukan pemunggahan berkuat kuasa 1 Mac depan.

Bagi mengelak kesesakan menuju ke Lebuh India dan kawasan persekitaran, pagar akan dikunci dan notis serta papan tanda akan dipasang sebagai makluman orang awam berhubung aktiviti-aktiviti ini.

“Kerajaan sedia ada berjanji untuk menjadikan pekan lama Kuching lebih cantik, menarik dan mesra dengan parkir kereta yang lebih banyak dan baik serta aliran trafik yang baik.

“Kita boleh menggambarkan bahawa pekan Kuching lama akan terus menjadi kebanggaan rakyat Sarawak,” katanya.

“Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud melihat gambaran yang luas dan memahami kepentingan dan signifikan pekan Lama Kuching terhadap bandar raya indah ini yang merupakan nilai pelancongan kepada kita.

“Politik diketepikan, pekan lama Kuching kekal sebagai fokus utama sektor pelancongan.

“Membersihkannya, menangani kesesakan, isu-isu parkir dan menjadikannya lebih menarik bukan sahaja untuk pelancong tetapi kepada semua penghuni bandar, inilah matlamat yang kita kongsikan,” tambahnya.