Plaza Merdeka tarik pengunjung ke Lebuh India

0

Pembukaannya tidak merampas aktiviti perniagaan di kalangan peniaga sedia ada di Lebuh India

KUCHING: Pembukaan pusat beli-belah lebih moden dan kondusif seperti Plaza Merdeka dalam kawasan Lebuh India tidak merampas aktiviti perniagaan di kalangan peniaga sedia ada di lokasi popular itu.

Sebaliknya menurut Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, pembukaan Plaza Merdeka yang dikhuatiri menjejaskan peniaga Lebuh India sebelum ini telah merangsangkan lagi kehadiran pengunjung ke kawasan berkenaan.

Perkembangan memberangsangkan ini secara tidak langsung menurut Taib, mendorong lonjakan nilai hartanah di kawasan ini sehingga mencecah jutaan ringgit dalam tempoh yang singkat.

“Lebuh India bertuah… mengapa?, kerana selepas pelbagai masalah dan perbincangan, peniaga di Lebuh India kini boleh menerima pusat beli-belah Plaza Merdeka.

“Terbukti ini pembukaan pusat beli-belah ini tidak merampas perniagaan daripada anda peniaga-peniaga di Lebuh India malah melonjakkan lagi kedatangan pengunjung ke Lebuh India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran bersama Persatuan Masyarakat Pusat Bandar Kuching, Plaza Merdeka Holdings dan Persatuan Kawasan Beli-belah Pejalan Kaki India Street di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin (Jumaat).

Terdahulu dalam ucapannya, Taib berkata sepanjang tempoh 50 tahun beliau tidak menafikan Kuching kini jauh lebih maju berbanding 50 tahun lepas.

Beliau turut mengakui bahawa Kuching lebih sofistikated dalam usaha membolehkannya membawa perubahan.

“Tempoh 50 tahun adalah yang terbaik untuk kita meneliti dan memahami apa yang telah kita lakukan dan capai.

“Sarawak membangun dengan pantas kerana kita terdedah dengan ekonomi terbuka di mana kebanyakan daripada hasil pendapatan kita diperolehi dari luar.

“Untuk mencapai negara maju kita tidak boleh bergantung kepada perniagaan domestik sahaja.

“Sebab itu, komuniti Lebuh India akan menjadi wadah dalam proses perdagangan di kalangan golongan kecil kepada aktiviti berskala besar,” katanya.

Tambah Taib, masyarakat kini bercakap mengenai perubahan dan perubahan terbaik adalah yang datang dari dalam dan bukan luar.

“Kami Barisan Nasional (BN) telah membawa perubahan meskipun ramai yang tidak menyedarinya.

“Apa yang kami lakukan ialah memikirkan siapa yang akan menikmati faedah-faedah perubahan ini dan melaksanakannya demi kebaikan rakyat dan negeri meskipun ada yang tidak bersetuju.

“Untuk berubah kita perlu jadikan perubahan itu sebagai sesuatu yang dikenali dahulu kerana kita mahu idea kita difahami.

“Itulah cara kami (BN) memimpin kerajaan dalam membawa perubahan,” ujarnya.

Majlis itu merupakan acara pertama seumpamanya bagi tahun ini yang membawa tema ‘50 Years of Peace, Harmony & Prosperity’.

Acara diserikan dengan tarian selamat datang oleh Kesatuan Buddha Kuching disusuli acara ‘Yee Sang’ serta persembahan orkestra Cina oleh Kenwy Music & Art.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Pengerusi Kawasan Beli-belah Pejalan Kaki Lebuh India Datu Wee Hong Seng.