Enggan tandatangan ikrar integriti bukti pembangkang tak mahu pikul tanggungjawab

0

KUANTAN: Keengganan pihak pembangkang menandatangani ikrar bagi mempertahankan integriti dan komitmen dalam memastikan pilihan raya bersih membuktikan mereka tidak sanggup untuk memikul tanggungjawab itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sikap pembangkang itu jelas menunjukkan mereka sebenarnya masih ragu-ragu untuk memastikan pilihan raya umum akan datang bersih dan bebas dari rasuah.

“Bila Perdana Menteri tandatangani ikrar tersebut, ia melambangkan kesetiaan beliau dan pemimpin parti komponen yang lain untuk menjalankan tugas dengan penuh bermaruah.

“Tapi kalau pembangkang tak nak ‘sign’, nampak sangat keraguannya…Maknanya mereka telah ‘pre-empt’, jika berlaku salah guna kuasa nanti mereka tidak mahu bertanggungjawab dan memberi alasan bahawa mereka tidak sign ikrar tersebut,” kata Adnan mengulas keengganan pembangkang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Penubuhan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahagian Pahang, di sini semalam.

Rabu lepas, Najib serta pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional menandatangani ikrar tersebut bersama Transparency International Malaysia (TI-Malaysia). — Bernama