Fokus program latihan, kemahiran

0

MIRI: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata program latihan dan kemahiran perlu diutamakan bagi melahirkan modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif.

Beliau berkata, dalam Belanjawan 2013 program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baharu selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan negara maju.

“Kerajaan menyediakan sejumlah RM3.7 bilion untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Selain itu, melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan dan galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan sejak Jun tahun lalu sehingga 2016,” katanya pada Penutupan Program Kolej Komuniti Miri bersama masyarakat di Kolej Komuniti Miri, kelmarin.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM440 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran.

“Langkah ini dapat memanfaatkan hampir 40, 000 pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5, selain peruntukan RM366 juta untuk menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara,” jelasnya.

Katanya, kesemua program latihan kemahiran yang akan dilaksanakan adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi.

Mengenai Program Kolej Komuniti Miri bersama rakyat, Chin berharap ia dapat mengeratkan hubungan di antara kaum, meningkatkan kemahiran komuniti setempat khususnya melalui program-program teknikal dan kemahiran.

“Saya yakin dan percaya, jika kursus kemahiran seumpama ini diberikan perhatian oleh segenap lapisan masyarakat, semua pihak sudah pasti akan mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Sementara itu, tiga program diadakan di bawah Program Kolej Komuniti Miri bersama Masyarakat iaitu Kejohanan Futsal Komuniti Miri 2013, Bengkel Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Majlis Dialog dan Taklimat Bersama Pemimpin Masyarakat.