Ikrar integriti: Pembangkang wajar sokong, bukan politikkan

0

BERA: Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas pembangkang yang enggan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bersama Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) bagi membanteras rasuah.

Beliau berkata tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani Ikrar Integriti Transparency sebagai satu perisytiharan umum dan menunjukkan komitmen untuk membanteras rasuah pada Pilihan Raya Umum (PRU13) sepatutnya disokong pembangkang.

Usaha itu, katanya, menunjukkan kerajaan ikhlas untuk memastikan calon yang ditonjol berintegriti dan bebas rasuah.

“Pembangkang masih lagi mahu mempolitikkan ikrar integriti pilihan raya walaupun matlamatnya ternyata murni agar calon yang bertanding pada pilihan raya bersih dan bebas rasuah.

“Calon mesti bersetuju mendokong prinsip integriti, beretika dan telus selain tidak menerima atau memberi rasuah, atau terbabit dalam apa cara perlakuan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Isu Semasa dan Perjumpaan Jalinan Rakyat yang dihadiri lebih 400 pemimpin UMNO di Kompleks Rakan Muda Bera semalam.

Rabu lepas, Najib serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional menandatangani ikrar integriti bersama TI-Malaysia. — Bernama