Jadikan majlis ramah-tamah perayaan utama aktiviti tahunan PBT: Wong

0

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh mahu majlis ramah-tamah dan rumah terbuka perayaan-perayaan utama dijadikan aktiviti tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menurutnya, penganjuran majlis seperti itu dapat mengekal serta memperkukuhkan lagi perpaduan rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan agama di Sarawak, sekali gus mengeratkan hubungan PBT dengan penduduk di bawah seliaannya.

“Perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa dan Gawai tidak hanya diaraikan oleh satu etnik sebaliknya menjemput komuniti lain sudah menjadi budaya kita. Di peringkat individu rumah terbuka diadakan dan ia merupakan amalan biasa di Sarawak. Amalan ini mesti dipertahan dan dikukuhkan lagi.

“Di peringkat PBT ia sudah tentu melibatkan jumlah komuniti lebih besar tetapi objektifnya tetap sama, mengeratkan hubungan dan perpaduan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah-tamah Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum serta latar belakang kepercayaan.

Menurut Wong, setiap pihak bertanggungjawab mengekalkan keamanan dikecapi selama ini dan memupuk keharmonian pelbagai kaum.

Tanpa usaha ke arah itu, katanya, tidak mustahil perpecahan kaum serta keganasan keagamaan seperti di beberapa buah negara boleh berlaku sehingga menjejaskan aktiviti-aktiviti lain.

“Majlis Ramah-tamah Tahun Baharu Cina ini adalah cara terbaik MBKS mengukuhkan lagi semangat bekerja sama dan kejiranan dalam kalangan pelbagai komuniti  selain menyemai nilai-nilai kekeluargaan, persahabatan dan sukarelawan yang baik. Tahniah kepada MBKS,”ujarnya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKS, Datuk James Chan berkata, majlis itu antara projek tanggungjawab sosial korporatnya dengan kerjasama persatuan-persatuan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta dalam usaha menjadikan Kuching sebagai bandar raya yang ceria, sesuai didiami serta kondusif kepada aktiviti-aktiviti ekonomi.

“Sebab itulah MBKS memfokus kepada ‘Program Komuniti Komprehensif’ untuk mengukuhkan lagi rangkaian komuniti di pelbagai peringkat dan mengekalkan rakyat dalam keadaan bersatu padu.

“Kita boleh mengatakan majlis ini adalah majlis dianjurkan oleh komuniti untuk komuniti,” ujar beliau.