Kerajaan bersikap adil pada rakyat

2
GERAN: Masir (tengah) bersama penerima geran kerajaan selepas berakhirnya program berkenaan di Sri Aman kelmarin.

GERAN: Masir (tengah) bersama penerima geran kerajaan selepas berakhirnya program berkenaan di Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersikap adil terhadap rakyat berbilang kaum di negeri ini dalam melaksanakan dasar dan pelan pembangunan yang menguntungkan semua pihak dari semasa ke semasa.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) merupakan salah satu contoh projek pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada semua rakyat di negeri ini.

“BN tidak melaksanakan pelan pembangunan yang hanya menguntungkan sesuatu kaum kerana kita merupakan sebuah kerajaan yang dibentuk berasaskan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Jadi segala perancangan pembangunan haruslah mengambil kira kepentingan semua kaum tanpa mengira kaum Melayu, Cina atau Dayak kerana BN adalah kerajaan rakyat untuk rakyat,” katanya pada Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman di Rumah Sap Jumpu, Batu Lintang Undop, di sini kelmarin.

Menurut beliau, adalah amat penting untuk semua rakyat berbilang kaum dalam negeri ini memanfaatkan segala peluang pembangunan yang telah disediakan di kawasan masing-masing.

Ini adalah jalan terbaik membolehkan segala projek pembangunan disalurkan oleh kerajaan kepada mereka memberi impak peningkatan taraf hidup kepada rakyat secara menyeluruh.

“Justeru, rakyat tidak mudah termakan hasutan oleh pihak tertentu kerana  boleh merosakkan pemikiran rakyat yang seterusnya menggagalkan usaha pembangunan kerajaan di kawasan masing-masing,” katanya.

Hadir sama Penolong Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Hairani Solo, Pembantu Khas Masir Edmund Pirang, Pemanca Samuel Lawen, Penghulu Micheal John Sanggop, Bekas Residen Bahagian Sarikei, Isaka Kana serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat.

Pada majlis berkenaan, Masir menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Sap Jumpu, Batu Lintang Undop, Sri Aman.

Selain itu, beliau turut menyampaikan geran kerajaan kepada lebih 20 buah JKKK di kawasan Hulu Undop.

Dalam pada itu, lebih 30 orang Tuai-tuai Rumah di kawasan Hulu Undop hadir pada majlis berkenaan.