Pakatan Rakyat tidak memberi kemenangan mudah kepada BN

0

SIBU: Di sebalik keputusan mengejut Pengerusi DAP Negeri Wong Ho Leng yang menarik diri untuk mempertahan kerusi Parlimen Sibu kelmarin, Pakatan Rakyat (PR) tetap berazam tidak memberikan kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN).

Perkara itu diakui oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sibu, Simon Tiong ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, keputusan Wong untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) merupakan satu kerugian besar kepada PR dalam usaha mempertahan kerusi berkenaan yang dimenanginya tiga tahun lalu.

“Pada pendapat saya, ia satu kerugian yang cukup besar kepada PR apatah lagi Wong sendiri merupakan penyandang kerusi berkenaan.

“Namun itu tidak bermakna, PR akan memberikan kemenangan mudah kepada mana-mana calon termasuk calon BN pada saat pemilihan undi nanti,” katanya.

Beliau percaya, dengan ketiadaan Wong pada PRU13 nanti tidak bermakna DAP ketandusan calon berkaliber yang mampu berkhidmat kepada rakyat.

Menurut Simon, PR akan memberi sokongan padu kepada sesiapa sahaja calon DAP yang bertanding di kerusi berkenaan pada PRU13 nanti.

Jelas Simon, beliau juga percaya rakyat khususnya di kerusi Parlimen Sibu sudah jelas mengenai parti mana yang benar-benar memperjuang hak mereka.

“Kalau di sini kita akan bantu sedaya upaya mana-mana calon yang bertanding atas tiket PR sama di kerusi Parlimen Sibu atau Lanang,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi PKR Lanang George Chen menjelaskan tindakan Wong mengundur diri sebagai keputusan terhormat.

Beliau berkata, tindakan Wong jelas menunjukkan beliau seorang pemimpin sejati dan berjiwa rakyat.

“Apabila Wong merasakan dirinya tidak berkeupayaan berkhidmat kepada rakyat, beliau mengambil keputusan mengundurkan diri dan memberi peluang kepada mereka yang lebih berkelayakan.

“Bagi PR, mana-mana calon yang bertanding atas tiket PR-DAP kita akan sokong,” katanya.

Ditanya sama ada DAP masih berpeluang memenangi kerusi berkenaan, Chen menjelaskan peluang tetap ada.

“Peluang menang masih ada, cuma sekarang bukan sesuai untuk kita membicarakan mengenainya. Tambahan pula saya percaya rakyat Sibu akan membuat pilihan tepat,” ujar beliau.

Pada pilihan raya kecil April 2010, kerusi Parlimen Sibu dimenani Wong yang juga ADUN Bukit Asek.

Wong berjaya menewaskan calon BN-SUPP Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi.

Pilihan raya kecil diadakan berikut kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu.