KUCHING: Projek bermasalah bukan tanggungjawab sepenuhnya wakil rakyat, sebaliknya rujukan juga harus dibuat kepada ejen pelaksana.
Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, wakil rakyat biasanya bertanggungjawab mencari dana tetapi agensi pelaksana yang bertanggungjawab memantau setiap projek.
Katanya, setiap kali ada projek bermasalah, pasti wakil rakyat yang akan dipersalahkan sehingga terlepas pandang kepada kontraktor dan agensi pelaksana projek berkenaan.
“Perkara ini memang sering berlaku bukan sahaja di kawasan Santubong, malahan di kawasan lain, banyak projek bermasalah seharusnya dirujuk kepada kontraktor itu sendiri.
“Jika kontraktor tidak mengendahkannya, rujuk masalah itu kepada agensi pelaksananya seperti Pejabat Daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Seminar Persediaan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Palimen Santubong di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Justeru, Wan Junaidi menyarankan agar penduduk terutamanya pemimpin di akar umbi bersama-sama memantau pelaksanaan projek di kawasan masing-masing dan jika ada berlakunya masalah, rujuk masalah itu kepada kontraktor atau agensi pelaksana.
Menyentuh mengenai projek yang telah diluluskan di kawasan Parlimen Santubong, Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata sebanyak RM2 juta telah diluluskan untuk pembinaan masjid di Kampung Sepakat Jaya.
“Namun, pelan masih belum lagi dibuat dan kita menjangkakan ia akan dibuat secepat mungkin demi keperluan penduduk,” jelasnya.
Selain itu, katanya, sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan jalan raya di Kampung Semilang Beradik yang mana proses tender akan dikeluarkan pada pertengahan Mac nanti.
Justeru, beliau berharap rakyat terus memberi mandat kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negara ini bagi memastikan perancangan dan pembangunan dapat diteruskan.
“Jika kita mahu pembangunan dapat diteruskan serta kebajikan rakyat terus dibela buktikan pada PRU13 nanti,” ujarnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan tetamu kehormat lain.