Site Last Updated 3:41 pm, Monday

Sarana ibu bapa dan sekolah dilancarkan

Posted on February 25, 2013, Monday

LANCAR: Wee Ka Siong bersama Dr Rosli (kiri) memegang buku panduan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah selepas pelancaran Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara semalam. Turut kelihatan, Ghafar Mahmud (kanan). — Gambar Bernama

LANCAR: Wee Ka Siong bersama Dr Rosli (kiri) memegang buku panduan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah selepas pelancaran Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara semalam. Turut kelihatan, Ghafar Mahmud (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah peringkat kebangsaan dilancar semalam sebagai inisiatif untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.

Terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Sarana Ibu bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran sarana itu meminta pihak sekolah menukar imej agar dilihat sebagai tempat memupuk persefahaman dan muafakat antara ibu bapa dan masyarakat.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.

Muhyiddin berkata, imej sekolah yang selama ini dilihat sebagai kepunyaan guru dan murid semata-mata perlu ditukar bagi menarik minat ibu bapa dan masyarakat bekerjasama dengan sekolah demi kepentingan pelajar.

“Sebagaimana yang termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak kita adalah dengan bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

“Inisiatif ini melibatkan kepentingan dan masa depan lebih 5.4 juta murid seluruh negara dan anggaran murid yang terlibat bagi tempoh 12 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang,” katanya.

Tema majlis yang dihadiri wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan, pihak swasta dan pemimpin masyarakat setempat dari seluruh negara ialah ‘Anak Nadi Aspirasi Kita – Pendidikan Anak Tanggungjawab Bersama’.

Muhyiddin berkata kementerian memperkenalkan dokumen Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah bagi menyatukan setiap pihak berkepentingan kerana penglibatan semua pihak amat diperlukan untuk melahirkan aset negara yang berharga.

“Sarana Ibu Bapa memberi fokus kepada peranan ibu bapa dalam pendidikan. Kajian OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) dijadikan asas dalam penyediaan sarana ini.

“Dapatan OECD ini tidak menghairankan kerana jika kita teliti satu persatu, setiap aspek yang disenaraikan memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada anak-anak.

“Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyedari keperluan dan kemudahan anak-anak belajar dalam keadaan yang selesa di rumah,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu juga diseru supaya dapat menyumbangkan idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada pihak sekolah.

Mengenai Sarana Sekolah pula, peranan PIBG amat penting untuk menggerakkan ibu bapa melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) kerana sekolah seperti di negara maju, ibu bapa merupakan penggerak utama untuk melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah.

Bagaimanapun katanya, tidak akan sempurna jika usaha mendidik hanya membabitkan ibu bapa, sekolah dan masyarakat kerana semua kementerian, agensi kerajaan dan swasta juga perlu memainkan peranan yang bersesuaian dalam aspek pembangunan kemanusiaan, kemahiran keibubapaan, kesihatan mental dan fizikal dan sebagainya. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.