
JUARA: SK Kidurong muncul juara Piala Tunas Harapan BDA Edisi Ke-7 2013 bersama pihak penganjur dan guru-guru mereka di Bintulu.
BINTULU: Penyerang licik, Mohd Irfan Bujang dan Manuel Sallex memastikan skuad mereka, Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong muncul juara setelah kedua pemain itu menyumbang jaringan besar sekali gus membenam SK St Anthony 4-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Tunas Harapan BDA Edisi Ketujuh di Padang Flat BDA, di sini pagi semalam.
Mohd Irfan menyerlah dengan kepantasannya merobek gawang lawan dengan menyempurnakan tiga jaringan pada minit kesembilan, 16 dan 24 pada babak awal perlawanan, diikuti jaringan Manuel pada minit-37 sekali gus mengesahkan tiket untuk SK Kidurong menguunguli kategori sekolah rendah (12 tahun ke bawah) tahun ini.
Sehubungan itu, Mohd Irfan turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan, manakala penjaring terbanyak pula disandang oleh Herman Bujang (SK Tanjung Batu).
Juara menerima piala pusingan, piala iringan, pingat dan wang tunai RM500. Manakala SK St Anthony yang menyandang naib juara menerima hadiah piala iringan, pingat dan wang tunai RM400.
Tempat ketiga bersama yang disandang oleh SK Jepak dan SK Tanjung Batu masing-masingnya menerima hadiah piala iringan dan wang tunai RM150. Diikuti Pasukan Fairplay pula dirangkul oleh SK Sebauh.
Sebanyak 13 pasukan menyertai kejohanan itu termasuk dua pasukan baharu iaitu SK Orang Kaya Mohamad dan SK Kuala Nyalau.
Hanya 12 pasukan yang mengesahkan diri iaitu SK Kidurong, SK Kuala Nyalau,SK Jepak, SK Asyakirin, SK Orang Kaya Mohamad,SK Sebauh, Akademi BDA, SK Tanjung Batu, SK Kem Batu 18, SK St Anthony, SK Kidurong 2 dan SK Bintulu.
Manakala SK Sungai Selad menarik diri.
Upacara sepak mula perlawanan akhir dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengurus Seksyen Hal Ehwal Awam Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Mohammed Ansari Mohamad Syed Ahmad.
Hadir sama pengerusi kejohanan, Donita Abdullah dan timbalannya, Rosini Yalin. Manakala Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bintulu diwakili oleh Awangku Alauddin Awang Adenani.
Kejohanan kali ketujuh itu adalah anjuran BDA dengan kerjasama PPD Bintulu dan Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA).
“Pada keseluruhannya kejohanan yang dianjurkan kali ini amat memuaskan dengan kerjasama dua pihak terbabit.
“Saya berharap kejohanan itu akan diteruskan pada tahun akan datang untuk membantu pihak sekolah melahirkan ramai pemain berbakat yang mampu mewakili sekolah pada kejohanan peringkat sekolah bawah 12 dan 17 tahun,” katanya.
Pada edisi pertama (2007) hingga edisi keenam (2012), SK Jepak pernah muncul juara empat kali pada 2007, 2009, 2010, 2011, manakala SK Tatau juara 2008 dan SK Asyakirin pula juara 2012.
Sebelum itu, dalam perlawanan separuh akhir SK St Anthony menewaskan SK Jepak dengan 3-0 diikuti SK Kidurong membelasah SK Tanjung Batu 6-0.