Tunggu masa sesuai untuk mengusir kumpulan penceroboh di Lahad Datu

1
Datuk Hamza Taib

Datuk Hamza Taib

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan memerlukan masa yang sesuai bagi mengusir kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, dekat sini, memandangkan kumpulan berkenaan bukanlah satu jumlah yang kecil, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib. 

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak akan melanjutkan tempoh rundingan dengan kumpulan mendakwa Askar Diraja Sulu yang dikepung di Kampung Tanduo di sini. Ia berikutan lanjutan masa yang telah diberikan sebelum ini sehingga Jumaat lalu telah tamat.

“Kita akan melakukannya berlandaskan undang-undang dan sekiranya perlu, mendakwa mereka di mahkamah.

“Kami tidak kisah mereka datang dari mana mahupun dari Kesultanan Sulu, tetapi kita tahu mereka adalah warga asing yang datang menceroboh ke negara kita dan mencabuli undang-undang serta kedaulatan negara,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Polis Marin Wilayah 4, di sini kelmarin.

Sehubungan itu, Hamza meminta masyarakat agar tidak bimbang kerana keselamatan masih lagi terkawal walaupun kumpulan itu berkemungkinan berhadapan dengan masalah kekurangan air, makanan dan minyak.

Dalam pada itu, beliau menafikan berlakunya perbalahan sehingga mengakibatkan kematian dua anggota kumpulan terbabit di kawasan berkenaan seperti dilaporkan media sebelum ini.

“Setakat tembakan kita ada dengar tetapi saya berani mengatakan tembakan bukan dari pasukan keselamatan, tembakan dari dalam pun kita tidak berani hendak mengesahkan.

“Mungkin tembakan ke atas binatang atau amaran (kumpulan penceroboh). Jadi saya sendiri pun tidak tahu dari mana sumber mereka dapat,” katanya.
Mengenai kapal Filipina yang akan digunakan bagi membawa pulang kumpulan penceroboh, beliau berkata ia tidak berada di perairan negeri ini seperti yang telah dilaporkan, sebaliknya berada di perairan Filipina.

“Saya sendiri telah mengesahkannya bersama Panglima Divisyen 2 Tentera Laut Diraja Malaysia. Jadi, saya minta sebarang maklumat berhubung insiden pencerobohan itu perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak keselamatan,” katanya.

Hamza turut mengesahkan penahanan empat individu atas kesalahan tidak mempunyai dokumen yang sah kira-kira jam 4 pagi kelmarin di kawasan berhampiran dalam daerah ini dan sehingga kini pihak berkuasa masih lagi menjalankan siasatan ke atas empat individu terbabit.