Dua lelaki terjatuh dalam longkang selepas samun dua remaja

0

SIBU: Dua orang lelaki menerima padah apabila mereka jatuh ke dalam longkang selepas melakukan samun terhadap dua remaja lelaki di Jalan Bukit Lima Timur, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, dua suspek terbabit yang berada dalam pengaruh alkohol telah menghalang dua remaja lelaki yang menaiki motosikal sebelum memukul salah seorang remaja dengan batang besi.

Bimbang sesuatu yang lebih buruk akan terjadi, salah seorang mangsa terpaksa menyerahkan dompetnya kepada dua penyamun tersebut.

Bagaimanapun, jenayah yang dilakukan dua penyamun terbabit tidak berbaloi apabila motosikal yang ditunggang mereka hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam longkang.

Akibat terjatuh ke dalam longkang, salah seorang daripada suspek berumur 21 tahun cedera di bahagian leher, muka dan kaki manakala seorang lagi suspek pengsan selepas cedera di bahagian belakang kepalanya.

Polis yang tiba di lokasi kejadian selepas dihubungi oleh orang awam turut merampas dompet mangsa daripada salah seorang suspek sebelum mengheret mereka ke balai untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, suspek kedua yang masih tidak sedarkan diri terpaksa dikejarkan ke Hospital Sibu dengan menaiki ambulans.

Difahamkan, suspek kedua yang tidak membawa kad pengenalan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana kecederaan yang dialaminya agak serius.

Motosikal yang digunakan suspek turut dirampas dan dibawa ke Balai Polis Sibu.

Suspek yang berumur 21 tahun berkenaan kini direman tujuh hari hingga 3 Mac depan bagi membantu siasatan polis.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian.