Site Last Updated 2:23 pm, Friday

Insiden pencerobohan di Lahad Datu akan diselesai secepat mungkin

by Mohd Najib Macpee. Posted on February 26, 2013, Tuesday

 

DUA anggota PGA melakukan pemeriksaan terhadap seorang nelayan di pantai Felda Sahabat 16 kelmarin.

DUA anggota PGA melakukan pemeriksaan terhadap seorang nelayan di pantai Felda Sahabat 16 kelmarin.

LAHAD DATU: Pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di sini dalam usaha terakhir menamatkan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata rakyat Filipina yang kini masuk hari ke-15 dengan berkubu di Kampung Tanduo, sebuah perkampungan pesisir pantai, kira-kira 130km dari sini.

Pada masa sama, jumlah anggota keselamatan yang ditempatkan di daerah itu terus ditingkatkan bagi memastikan kawalan keselamatan sepenuhnya, manakala bekalan makanan dihantar menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi keperluan anggota bertugas.

Antara pegawai tinggi yang berada di sini termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar; Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid; dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Kelmarin, mereka menerima taklimat mengenai perkembangan terbaru insiden itu di Komtek Sahabat 16 Batalion 17, Pasukan Gerakan Am (PGA) Felda Sahabat.

Bercakap kepada pemberita selepas taklimat itu, Khalid berkata insiden pencerobohan kumpulan yang mengaku Askar Diraja Kesultanan Sulu itu masih di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia dan bukannya bertukar tangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tentera seperti dilaporkan media sosial.

Menurutnya, isu berkenaan masih ditangani sebagai isu keselamatan negara dan operasi turut melibatkan beberapa agensi keselamatan lain.

“Keadaan di sini masih seperti biasa dan tujuan lawatan saya pagi ini semata-mata untuk menemui anggota saya di lapangan,” katanya.

“Perlu ditegaskan bahawa kita adalah pasukan bersama dengan penguatkuasan yang lain, namun PDRM masih diberikan kuasa dan dipertanggungjawab sebagai pihak berkuasa utama dalam menyelesai dan menangani isu ini. Sehubungan itu, laporan beberapa media sebelum ini kononnya ia telah bertukar tangan adalah tidak betul,” katanya.

Ketika diminta mengulas laporan bahawa kumpulan terbabit masih tidak mahu berganjak dari Kampung Tanduo, Khalid enggan mengulas lanjut mengenai perancangan pihaknya dalam mengatasi masalah itu.

“Saya minta maaf, saya tidak boleh memaklumkan apa yang kita buat dalam menangani isu ini,” katanya.

Khalid juga menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana pihak terutama dari luar mencampuri urusan berkenaan.

“Ini urusan dalam negara kita, jadi kita tidak perlu campurtangan luar dan sudah tentunya hal itu tidak akan dibenarkan sama sekali,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa insiden pencerobohan itu akan ditamatkan secepat mungkin.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak bimbang.

Ditanya tindakan yang akan diambil selepas tamatnya tempoh yang diberi pihak berkuasa kepada kumpulan itu Ahad lepas, Khalid sekadar berkata: “Tunggu dan

lihat”.

Katanya, tindakan boleh diambil pada bila-bila masa terhadap 150 orang penceroboh yang masih bertahan dan enggan keluar dari Kampung Tanduo.

“Kita akan tamatkan stand-off sekarang ini. Cuma saya menasihati orang ramai supaya jangan bimbang dan jangan ragu-ragu. Insya-Allah, kita selesaikannya dengan secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, akhbar Utusan Malaysia pada Isnin dan Selasa menyiarkan beberapa gambar eksklusif dari tempat kumpulan bersenjata itu berkubu di Kampung Tanduo, yang dikatakan diketuai oleh Raja Muda Azzumudie. Antara gambar itu memaparkan kumpulan bersenjata api dengan pakaian ala tentera.

 

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.