Empat ditahan kerana ugut bunuh anggota yang tinggalkan parti

0

MARANG: Empat lelaki ditahan kerana bertindak mencekik leher dan mengugut bunuh seorang penyokong sebuah parti politik yang keluar parti itu untuk menyertai parti lain di Kampung Jerung Seberang, Wakaf Tapai di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, mangsa yang berusia 53 tahun bersama isteri 50-an dan anak berada di rumah sebelum didatangi empat suspek yang tinggal di kampung sama lantas mengugut untuk membunuh dan membakar rumahnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata kejadian itu berlaku apabila suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa yang mewakili 81 lagi penduduk menaikkan kain rentang berbunyi ‘Kami Penduduk Kampung Bukit Cempedak Sokong Parti Lain’.

Beliau memberitahu pemberita di sini semalam, semasa di rumah itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum seorang daripada mereka yang berusia 34 tahun bertindak menarik dan mencekik leher mangsa.

Manoharan berkata isteri dan anak mangsa menyaksikan tindakan suspek yang juga mengugut mahu membunuh serta membakar rumah mangsa kerana keluar parti dan menaikkan kain rentang itu.

“Insiden keluar parti ini berlaku dua bulan lepas apabila mangsa yang juga ketua kepada 81 orang dari kampung itu keluar parti dan menyertai parti politik lain serta mahu menubuhkan cawangan baharu di kampung itu,” katanya.

Manoharan berkata ekoran kejadian itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Wakaf Tapai pada jam 9.30 malam hari sama kerana bimbang keselamatannya sekeluarga.

Katanya, keempat-empat suspek berusia 34 hingga 38 tahun yang masing-masing bekerja sebagai tukang rumah dan bekerja sendiri ditahan di rumah masing-masing hari yang sama selepas laporan dibuat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya. — Bernama