Kementerian Pelajaran rancang program pemakanan atasi obesiti

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengadakan beberapa program membabitkan kaunselor pemakanan, ibu bapa dan pelajar bagi mengekang masalah obesiti dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bagi melibatkan ibu bapa dalam memantau pemakanan anak-anak mereka selain memastikan Indeks Jisim Badan (BMI) anak terbabit berada pada tahap ideal.

“Tanggungjawab memantau pemakanan dan BMI para pelajar bukan hanya patut dipikul oleh kementerian dan para guru namun ibu bapa juga perlu turut sama membantu.

“Jika pemakanan mereka hanya dipantau bila mereka di sekolah tapi tidak dipantau apabila berada dengan ibu bapa, usaha kami untuk mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar tidak akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) MSSM-MILO 2012, di sini semalam.

Kata Wee, kementerian itu melaksanakan beberapa program seperti 1Murid 1Sukan yang menggalakkan pelajar menyertai aktiviti sukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu, sekali gus memberi peluang mengurangkan masalah berat badan berlebihan.

Katanya, bermula tahun ini juga kementerian akan menganjurkan program pemeriksaan kesihatan dua kali setahun bagi menggalakkan BMI para pelajar kekal pada tahap yang baik bermula dari usia muda.

Ditanya mengenai keberkesanan program 1Murid 1Sukan, Wee berkata program itu mendapat respons yang baik dan penganjuran acara sukan di sekolah juga semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Kerajaan negeri juga memberi respons yang baik dan ada yang mahu kerajaan menubuhkan lebih banyak sekolah sukan negeri (SSN).

Pada majlis semalam, atlet Sukan Olimpik 2012 bagi acara terjun 10 meter platform, Traisy Vivien Tukiet menerima Anugerah Puteri, sementara pemain skuasy Ng Eain Yow, 15, menerima Anugerah Putera.

“Saya tidak menjangka akan memiliki anugerah ini dan berterima kasih kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana telah memberikan latihan yang bagus sehingga saya dapat mencapai banyak kejayaan,” kata Ng yang pernah merangkul beberapa kejuaraan termasuk Asian Junior Individual Championship dan Milo All Star International Open.

Remaja itu juga berharap acara skuasy akan dipertandingkan pada temasya Olimpik. — Bernama