`Letak senjata, serah diri’

6

Pasukan keselamatan gugurkan risalah kepada penceroboh

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan pada Rabu lalu telah menggugurkan risalah dalam Bahasa Suluk di Kampung Tanduo, tempat kumpulan penceroboh warga asing bersenjata api berkubu sejak 17 hari lalu, meminta mereka meletakkan senjata dan menyerah diri tanpa sebarang insiden pertumpahan darah.

Persuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata langkah itu bagaimanapun belum mendapat sebarang maklum balas positif daripada kumpulan terbabit yang terus berdegil dan enggan meninggalkan tempat berkenaan, sebaliknya membuat pelbagai tuntutan kepada kerajaan.

Mengulas mengenai keadaan terkini kes itu, beliau berkata setakat ini situasi adalah sama dan pihak berkuasa sentiasa bersedia melakukan apa sahaja tindakan yang difikirkan perlu.

“Tujuan kita mengedarkan risalah itu kerana kita masih berkehendakkan mereka (penceroboh) menyerah diri tanpa berlaku pertumpahan darah, sebab tindakan kita adalah hendak selamatkan nyawa dan bukannya hendak berperang.

“Saya percaya mereka telah mendapat risalah berkenaan dan telah membacanya, di mana risalah yang bertulis dalam bahasa Suluk itu adalah meminta agar kumpulan terbabit meletakkan senjata dan menyerah diri.

“Namun sehingga kini (kelmarin) pihak kita masih lagi belum menerima apa-apa respon daripada kumpulan terbabit,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan Ops Sulu di sini, kelmarin.

Sementara itu, Hamza berkata polis tidak lagi melakukan rundingan dan tidak menetapkan jangka masa tertentu untuk melakukan tindakan susulan.

Bagaimanapun, beliau yakin insiden ini akan diselesaikan dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu katanya, pihak berkuasa mempunyai kekuatan yang mencukupi dari segenap aspek termasuk anggota dan kelengkapan untuk berhadapan dengan apa sahaja situasi bagi menyelesaikan isu itu.

“Kita akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan sekiranya perlu kita akan bertindak, tujuan kita menyelamatkan nyawa tetapi nyawa anggota pasukan keselamatan saya lebih penting dari mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata keputusan dan tindakan yang dilakukan polis dalam mengatasi masalah ini tidak mendapat tekanan daripada mana-mana pihak.

“Segala tindakan yang dilakukan pihak berkuasa dibuat selepas melihat pelbagai aspek khususnya keselamatan masyarakat,” katanya.