Anggota polis Sarikei diingat jangan terlalu asyik berhibur

0

SARIKEI: Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintenden Poniman Margiman mengingatkan anggotanya agar tidak mengunjungi pusat hiburan sesuka hati terutamanya dengan hanya tujuan untuk berhibur sahaja.

Katanya, banyak perkara yang boleh berlaku sekiranya tabiat seperti ini kerap diamalkan, tetapi yang paling nyatanya ialah tabiat itu mempunyai banyak kesan negatif daripada yang positif kepada anggota tersebut.

“Kita sarankan hanya anggota yang mempunyai tugas atau misi sahaja yang digalakkan mengunjungi lokasi ini.

“Objektif kita membuat peringatan sedemikian bukannya mengongkong hak dan kebebasan anggota, tetapi untuk memastikan anggota kita tidak terlibat dengan masalah tatatertip, disiplin dan lain-lain kemungkinan yang mampu memusnahkan masa depan, kerjaya mereka dan menjejaskan imej polis,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei.

Katanya, ini kerana kebanyakan masalah disiplin yang berlaku kepada anggota adalah berpunca daripada tabiat tersebut.

Pada majlis sama, seramai 25 orang terdiri daripada anggota polis dan kakitangan sokongan IPD Sarikei yang cemerlang dalam menjalankan tugas  menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Menurut Poniman, kadar indeks jenayah bagi tahun lalu menunjukkan penurunan  jika dibandingkan dengan tahun 2011.

“Pada tahun  2011, sebanyak 327 kes dilaporkan berlaku, manakala bagi tahun 2012 hanya 271 kes dilaporkan. Jumlah tersebut menunjukkan peratusan penurunan kes sebanyak 56 kes atau bersamaan dengan 17.1 peratus.

“Bagi jenayah jalanan pula, pada tahun 2012 sebanyak 14 kes dilaporkan, manakala bagi tahun 2011 terdapat sebanyak 54 kes berlaku. Ini menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 54 kes.

“Untuk kadar pertuduhan pula, IPD Sarikei berjaya mencapai tahap 28.4 peratus bagi tahun lalu iaitu melepasi sasaran atau tahap sasaran iaitu 25 peratus,” jelasnya.

Tambah Poniman, semua kejayaan yang dicapai adalah berkat usaha gigih dan prestasi cemerlang ditunjukkan oleh para anggota di samping kerjasama erat masyarakat setempat.

“Pada masa yang sama, pasukan kita sudah pun bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa,” katanya.