JPN ambil inisiatif turun padang

0

BETONG: Kerajaan menerusi Jabatan Pendaftaran Negera Malaysia (JPN) berusaha membantu penduduk memerlukan bantuan mengurus dan memproses dokumen pengenalan diri dan kad pengenalan (MyKad) kepada orang kurang berkemampuan apabila mereka turun padang mengenal pasti penduduk di sini.

Menurut Penolong Pegawai Pendaftaran, Fazly Abdul Latif ini merupakan inisiatif yang telah mereka jalankan bagi membantu masyarakat setempat dalam usaha menolong mereka yang kurang berkemampuan memiliki dokumen penting.

“Kita bukan sahaja membantu masyarakat yang datang ke pejabat untuk mendapatkan perkhidmatan jabatan kami mengurus kad pengenalan dan dokumen peribadi mereka, tetapi turut tampil dan mencari mereka yang tidak mengambil dokumen seterusnya menyerahkan kepada pemilik terbabit,” katanya.

Fazly berkata perancangan jabatan memberi perkhidmatan terus ke rumah adalah satu usaha bagi memberi kemudahan kepada golongan yang kurang mampu untuk memproses MyKad.

“Ada kalangan pelanggan kami tidak pernah memiliki kad pengenalan, tetapi mereka memiliki sijil kelahiran asal yang dikeluarkan oleh JPN dan ada juga mereka memiliki kad pengenalan lama tetapi tidak pernah bertukar disebabkan masalah-masalah yang mereka alami.

“Kebanyakan mereka ini adalah orang kelainan upaya (OKU) yang sukar untuk dibawa keluar dari rumah dan tidak mampu untuk bergerak sendiri,” katanya pada program Rakyat Di Hati JPN di sini semalam.

Tambahnya, kesukaran rakyat untuk datang ke jabatan disebabkan kurang mampu dan perbelanjaan yang besar untuk keluar serta OKU adalah antara punca yang menyebabkan masyarakat tidak memiliki MyKad.

“Dalam hal ini, kerajaan sentiasa memberi perhatian sewajarnya untuk membantu rakyat yang memerlukan. Lebih-lebih lagi apabila ada mereka yang memerlukan perhatian untuk diberi perkhidmatan secara langsung atas pelbagai alasan.

Jelas Fazly, dengan berlangsungnya program Rakyat Di Hati JPN kemudahan untuk orang ramai yang tidak dapat menerima kemudahan di jabatan mereka akan diberi perhatian dan mereka sanggup turun padang mencari orang yang layak diberi bantuan.

“Sambil itu, pihak kami juga akan menyerahkan MyKad kepada pemilik yang mana mereka tidak mengambil dokumen tersebut setelah tempoh pengambilan tidak dilakukan merujuk kepada alamat yang terdapat dalam dokumen tersebut.

“Ini juga bagi mendekatkan lagi rakyat dengan JPN dan berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik dan memuaskan hati semua pihak yang memerlukan,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai yang ada masalah membawa ahli keluarga mereka yang tidak mampu bergerak atau mengalami masalah dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri agar memberitahu pihak mereka di JPN Betong secara terus atau boleh menghubungi di talian 083-472814 bagi mendapatkan keterangan lanjut.