Najib mula palu ‘gendang perang’ PRU13

0

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mula ‘memalu’ gendang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) apabila

melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Pekan.

Ketika melancarkan majlis yang dihadiri hampir 5,000 orang itu, Najib yang merupakan Pengerusi BN berkata, ‘gendang perang’ telah dipalu dan semua pihak mesti mengatur langkah sebagai pendekar.

“Kita tunggu isyarat, lepas tu kita turun ke medan juang, selagi belum capai kemenangan besar, jangan kita undur walaupun seinci,” katanya.

Perdana Menteri berkata, semua jentera BN perlu bersiap sepenuhnya untuk menghadapi PRU13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa sekali gus memberikan kemenangan lebih besar berbanding PRU12.

“Apabila Parlimen dibubarkan nanti, kita pastikan jentera bergerak licin dan lancar, gerak kerja mesti ikut haluan tak kira siapa jadi calon, siapa jadi calon kita akan sokong,” katanya.

Najib juga mahu jentera BN memastikan setiap penyokong menunaikan tanggungjawab untuk mengundi termasuk mereka yang berada di luar kawasan.