Penceroboh serang dahulu

0
TERKORBAN: Anggota polis di pos kawalan utama membawa dua anggota polis yang terkorban di Kampung Tanduo di Lahad Datu, semalam. — Gambar Bernama

TERKORBAN: Anggota polis di pos kawalan utama membawa dua anggota polis yang terkorban di Kampung Tanduo di Lahad Datu, semalam. — Gambar Bernama

GEMPUR: Anggota tentera bersiap sedia ke Kampung Tanduo untuk menghadapi penceroboh yang masih berkubu di kampung itu di Lahad Datu, semalam. — Gambar Bernama

GEMPUR: Anggota tentera bersiap sedia ke Kampung Tanduo untuk menghadapi
penceroboh yang masih berkubu di kampung itu di Lahad Datu, semalam. — Gambar Bernama

Dua anggota keselamatan Malaysia terkorban, 12 penceroboh bersenjata maut

LAHAD DATU: Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan

Filipina maut dalam insiden tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo di sini, semalam.

Kejadian pada kira-kira jam 10 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis.

Kesemua 12 penceroboh rakyat asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut ‘Sultan Sulu’ yang dikepung pasukan   keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.

Mereka cuba keluar daripada kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak dengan anggota

keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata, insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.

Menceritakan semula kejadian itu, Hamza berkata, kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.

“Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak,” kata Hamza.

Hamza berkata, turut ditemui pada kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16, pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.

Beliau berkata, polis kini mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu, dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.

“Polis telah mengawal segala laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan kampung berkenaan,” katanya.

Hamza turut menafikan laporan termasuk yang disiar laman sosial dan agensi berita asing bahawa terdapat anggota kumpulan penceroboh itu menyerah diri dan melarikan diri melalui jalan laut.

Dalam pada itu, Hamza turut menegaskan bahawa polis tidak mengeluarkan sebarang arahan perintah berkurung di Lahad Datu ekoran insiden itu.

“Saya diberi kuasa untuk melaksanakan perintah itu dan tiada sebarang perintah itu dikeluarkan seperti yang dilaporkan,” katanya sambil memberitahu bahawa keadaan di Kampung Tanduo kini terkawal dan tenang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata beliau telah memberi mandat kepada ketua polis negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.

Najib juga dilaporkan berkata kumpulan penceroboh itu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar daripada kawasan itu secepat mungkin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilaporkan berkata Malaysia telah memberi tempoh sewajarnya untuk mengusir penceroboh itu supaya berundur dan pulang ke tanah air mereka.

Sementara itu, kawasan sekitar Lahad Datu diletakkan dalam kawalan keselamatan yang ketat berikutan pertempuran antara pasukan keselamatan negara dan kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, pagi semalam.

Selepas tersebar berita mengenai insiden tembak-menembak itu, sebahagian besar premis perniagaan, termasuk bank dan sekolah ditutup menjelang tengah hari.

Polis turut menasihati orang ramai supaya tidak keluar bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, selain jangan mudah percaya dengan khabar angin yang sengaja disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.