Site Last Updated 4:10 pm, Wednesday

Ahli SABERKAS digesa terus bergerak aktif

Posted on March 3, 2013, Sunday

SARIKEI: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Saleh menggesa ahli Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) terus bergerak aktif.

Katanya bagi memperkasa SABERKAS, generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara ini harus menerima latihan kepimpinan awal yang wujud sekian lama pada organisasi SABERKAS sejak ia ditubuhkan.

“Tumpuan yang jitu untuk melahirkan generasi pelapis masa depan harus dipergiatkan pada masa sekarang.

“Oleh itu, SABERKAS mempunyai peranan yang penting dalam memastikan matlamat ini dapat dicapai dengan jayanya.

“Berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan sejak ditubuhkan, kebanyakan pemimpin negeri ini lahir dan menerima latihan kepimpinan apabila mereka menyertai dan melibatkan diri dengan SABERKAS.

“Maka adalah terbukti bahawa SABERKAS selama ini telah banyak memberi peluang, ruang serta mengasah bakat-bakat muda yang berketerampilan untuk lahir menjadi pemimpin negara,” katanya pada Mesyuarat Agung SABERKAS Cawangan Belawai, di sini semalam.

Mesyuarat itu dihadiri kira-kira 50 ahli SABERKAS yang terdiri daripada masyarakat sekitar kawasan Belawai.

Mesyuarat kali kedua itu menyaksikan pembubaran ahli jawatankuasa (AJK) penaja SABERKAS Cawangan Belawai sekali gus memilih AJK bagi sesi 2013-2016.

Justeru, Len menyeru kepada ahli SABERKAS di kawasan ini untuk memanfaatkan pembangunan yang berkembang di sekitar mereka sebagai peluang yang terbaik bagi memajukan diri.

“Jika kita melihat pada hari ini, pembangunan yang berlaku turut membawa pengaruh yang besar kepada perubahan senario politik.

“Maka demografi semasa turut mendapat pengaruh yang besar kepada perubahan tersebut, jadi kesiapsiagaan semua pihak menghadapinya harus diperkukuhkan

“Anggota SABERKAS hurus melibatkan diri dengan semua perkara khusus yang berpotensi untuk maju seperti bidang ekonomi, sosial dan politik sekiranya ingin memastikan organisasi ini terus kukuh,” jelasnya.

Len turut mengingatkan semua ketua masyarakat agar menyiap dan menyediakan profil kampung yang mempunyai butir-butir asas berkaitan peringkat akar umbi yang bernaung di bawah jagaan mereka.

Antara perwakilan SABERKAS yang hadir pada mesyuarat itu ialah Unit SABERKAS Belawai, Unit SABERKAS Rajang, Unit SABERKAS Jerijeh, Unit SABERKAS Semalau, Unit SABERKAS Selalang, Unit SABERKAS Kerobong/Kerapa, Unit SABERKAS Sare, Unit SABERKAS Taman Susur Jambu dan Unit SABERKAS Kampung Sarikei.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.