Pemberian BR1M bolehkan kerajaan peroleh statistik orang miskin

0

SIBURAN: Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membolehkan kerajaan memperolehi statistik terkini orang miskin agar dapat merancang program-program jangka panjang bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Ahli Parlimen Mambong Datuk James Dawos Mamit berkata program termasuk keusahawanan, pertanian dan aktiviti berkaitan dengannya bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan secara langsung dapat membasmi kemiskinan.

“Agihan BR1M mampu mengurangkan beban kewangan di kalangan orang miskin sambil kita memikirkan apakah penyelesaian terbaik bagi kita menambah baik status ekonomi mereka.

“Apabila orang ramai mendaftar untuk mendapatkan BR1M, kerajaan juga dapat mengenal pasti golongan miskin di seluruh negara.

“Ini dapat membantu kita melaksanakan program-program untuk mereka pada masa depan,” katanya ketika ditemui di Balai Raya Kampung Sinjok di sini semalam.

Beliau menambah, pengagihan BR1M boleh diteruskan dan jumlahnya mungkin dapat ditambah jika kedudukan ekonomi negara bertambah kukuh.

Dawos yang juga Timbalan Menteri Pelancongan terdahulunya menyampaikan BR1M kepada 300 penerima berketurunan Cina.