Pendekatan ‘Strategic Retreat and Planning’ tambah baik kecekapan, keberkesanan perkhidmatan

0

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) menggunakan pendekatan ‘Strategic Retreat and Planning’ bagi menambah baik kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan untuk golongan dan kumpulan sasar.

Menurut Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah kelmarin, ia diperkenalkan sejak Disember lepas dengan melihat kecenderungan positif hasil daripada pelaksanaannya.

“Kami membangun dan memperkasakan golongan sasar melalui peningkatan keupayaan diri untuk berdikari.

“Di samping itu kami turut memberi perlindungan dan pemulihan kepada golongan sasar yang memerlukan dengan meningkatkan budaya penyayang melalui perkhidmatan kebajikan profesional, perkongsian bijak dan strategik dengan pelbagai agensi lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah dan Penghargaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JKMNS di sini petang kelmarin.

Jelas beliau, cogan kata ‘Penginsanan Perkhidmatan Kebajikan’ adalah selari dengan aspirasi serta matlamat penubuhan Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga yang memfokuskan aktiviti dan perkhidmatan kebajikan kepada usaha mensejahterakan rakyat, terutama golongan yang memerlukan.

Maka dengan itu pihak JKMNS dinasihati agar tidak membataskan usaha kebajikan hanya dengan memenuhi keperluan kewangan atau kebendaan semata-mata.

Tetapi ia perlu merangkumi perkara berkaitan aspek emosi, nilai, maruah, harga diri dan digniti kemanusiaan, ujarnya.

Selain itu, beliau berpendirian bahawa dalam menjalankan tanggungjawab, amanah dan tugas yang diberi kepada kita sebagai petugas sosial wajar berpandukan kepada tiga perkara iaitu:

Kesedaran tentang pentingnya apabila memberi perkhidmatan disampaikan dengan ikhlas dan jujur serta penuh semangat kebajikan.

“Sebagai pekerja sosial, harus kita melihat diri sendiri sebagai seorang petugas kebajikan berbanding pentadbir atau pengurus perkhidmatan kebajikan yang berpangkalan di pejabat.

“Saya yakin, minat atau kecenderungan kita akan lebih tertumpu kepada aspek menyediakan perkhidmatan kebajikan dengan tujuan untuk menegak dan memperkukuhkan digniti hidup bermaruah dalam kalangan semua pihak yang terlibat,” jelasnya.

Fatimah menegah pekerja sosial JKMNS melihat kerja kebajikan itu daripada aspek pengurusan dan pentadbiran output atau hasil perkhidmatan kebajikan semata-mata.

Beliau menyeru warga JKMNS menanam rasa kebertanggungjawaban sosial yang tinggi, rasa keprihatinan kemanusiaan serta nilai-nilai keinsanan yang luhur.

Justeru, Majlis Anugerah dan Penghargaan APC merupakan langkah positif untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi kepuasan kerja diri, pencapaian sasaran kerja organisasi dan untuk merealisasikan jangkaan rakyat.

Majlis itu kelmarin turut meraikan 59 pegawai JKMNS naik pangkat pada tahun lepas dan 75 penerima APC.

Turut hadir Pengarah JKMNS Noriah Ahmad.