Kita terus dibuli penceroboh

11
BALAS DENDAM: Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna semalam. Kelihatan mayat lelaki itu diletakkan berdekatan sebatang pokok di kampung tersebut. — Gambar Bernama

BALAS DENDAM: Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna semalam. Kelihatan mayat lelaki itu diletakkan berdekatan sebatang pokok di kampung tersebut. — Gambar Bernama

Lima lagi polis terkorban dalam serang hendap kumpulan bersenjata di Semporna, Sabah

LAHAD DATU: Seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam serang hendap oleh se­kumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah kelmarin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian di perkampungan atas air pada jam 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.

Kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat mak­lumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu, katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir pada sidang akh­bar itu ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Pengarah Keselama­tan Dalam Negeri dan Ketentera­man Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid.

Ismail berkata anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

Ismail berkata polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang ter­letak kira-kira 150 kilometer dari Semporna.

Jumaat lepas, dua anggota polis komando VAT 69, ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, terkorban dan tiga lagi anggota polis cedera dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari Sela­tan Filipina di Kampung Tanduo di sini.

Dalam kejadian itu, 12 anggota pasukan penceroboh terbunuh.

Ismail berkata identiti pegawai dan anggota polis yang terkorban di Semporna itu akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Ismail berkata polis mengesan sekumpulan 10 lelaki dengan tiga daripada mereka bersenjata api di Kam­pung Lomalong dan Kampung Dasar Lama, Kunak, kira-kira 60 km dari sini, pada jam 10 malam kelmarin.

“Sehingga kini polis sedang menjejaki pergerakan dan tujuan kumpulan itu,” katanya.

Ismail berkata polis turut me­nahan tiga daripada lebih 150 orang kumpulan bersenjata rakyat Selatan Filipina yang menceroboh dan berpangkalan di Kampung Tanduo, di sini sejak 9 Februari lepas.

“Mereka dipercayai cuba keluar daripada kumpulan itu,” katanya yang enggan mendedahkan maklu­mat terperinci mengenai tangkapan itu. — Bernama