KANOWIT: Beri sokongan penuh dan teguh kepada pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus menikmati agenda pembangunan yang dibawa kerajaan, kata Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang.
Menurutnya, kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan memastikan rakyat di negara ini terus menikmati pelbagai pembangunan.
“Selain pembangunan, rakyat juga akan menikmati pelbagai program bantuan yang dapat memberi manfaat kepada mereka.
“Jika pihak lain selain BN mentadbir negara ini, tidak pasti sama ada rakyat di negara ini akan menikmati pembangunan dan program bantuan seperti yang dijalankan oleh kerajaan BN selama ini atau sebaliknya. Ini kerana hanya BN sahaja yang mempunyai agenda sedemikian.
“Justeru, berilah sokongan padu kepada BN pada PRU13 kali ini bagi menjamin setiap agenda pembangunan dan program bantuan akan diteruskan selagi BN memerintah negara ini,” katanya ketika menghadiri Majlis Info Bestari di Rumah Shamsudin, Hulu Maong di sini, kelmarin.
Pada majlis itu, Aaron merasmikan jambatan dan lantai papan lapis rumah panjang tersebut.
Hadir sama Pemanca Spencer Kudang, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail, Penghulu Lawrence Melaka, Penghulu Ugak Sigai, Penghulu Ijam Tuah dan Penghulu Ugap Seribu.
Beliau menegaskan, rakyat seharusnya berfikir sedalam-dalamnya dan lihat apa yang pemimpin BN telah laksanakan selama ini kepada negeri dan negara ini lebih-lebih lagi dalam soal kebajikan rakyat.
“Mana ada pembangkang bantu rakyat serta mempunyai dana untuk membangunkan negara ini. Mereka hanya tahu cakap sahaja tetapi tidak pandai buat kerja.
“Apa yang mereka buat ialah menghasut serta meracuni fikiran rakyat agar membenci kerajaan.
“Apa yang kerajaan buat semuanya salah di mata mereka,” tegasnya sambil menyeru rakyat agar terus memilih BN pada PRU13 nanti.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih terhadap pengorbanan BN selama ini dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat.
Jelasnya, kerajaan BN sentiasa berlaku adil dalam usaha mengagihkan pembangunan berdasarkan peruntukan yang diberikan.
“Pembangunan memang dilaksanakan walaupun mengambil sedikit masa. Oleh itu, bersabarlah menunggu pembangunan kerana pembangunan tidak datang bergolek begitu sahaja tanpa peruntukan.
“Rakyat harus faham bahawa kita mempunyai perancangan membangunkan daerah ini dengan lebih pesat pada masa akan datang.
“Apa yang penting, selagi BN diberi mandat, daerah Kanowit akan terus membangun,” katanya.