Dana tambahan RM600 juta untuk perkasa usahawan Bumiputera

0
LONJAKKAN USAHAWAN: Najib melambaikan tangan pada yang hadir selepas merasmikan Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

LONJAKKAN USAHAWAN: Najib melambaikan tangan pada yang hadir selepas merasmikan Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

Kerajaan bantu melonjakkan penglibatan usahawan ke arena global

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memperuntukkan RM600 juta dalam usahanya memperkasakan lagi usahawan-usahawan Bumiputera, sekali gus melonjakkan penglibatan mereka ke arena global.

Ketika mengumumkan dana tambahan itu, Perdana Menteri berkata RM400 juta akan dikendalikan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Sebanyak RM100 juta akan dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk pembangunan korporat bagi pertambahan ekuiti Bumiputera,” kata beliau sebelum merasmikan Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 di sini semalam.

“Sementara itu, RM100 juta akan diberi kepada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bagi membantu usahawan Bumiputera mendapat lokasi strategik di pusat beli-belah ternama bagi memasarkan jenama antarabangsa,” kata beliau.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan kenaikan had pinjaman kepada usahawan di bawah kendalian MARA dan TEKUN daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Selain itu, beliau juga turut menaikkan had pembiayaan di bawah kendalian MARA daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Najib berkata dana tambahan yang dikendalikan oleh EPU itu akan digunakan untuk program-program strategik seperti memperkasakan usahawan Bumiputera dengan pendekatan yang berinovasi agar usahawan-usahawan ini dapat memperluaskan pasaran serta menyediakan infrastruktur yang lengkap.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan menggalakkan usahawan Bumiputera agar meningkatkan prestasi dan kemahiran masing-masing supaya dapat terus berdaya saing dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata untuk berjaya.

Sekiranya seseorang usahawan Bumiputera itu mempunyai kebolehan, tanpa tandatangan sesiapapun, mereka layak untuk bersaing mendapatkan kontrak, kata Najib.

“Kita tidak mahu pengusaha-pegusaha sebegini sebab kalau kita bagi (kontrak) berdasarkan mereka yang buat begini, maka kita tak akan bangunkan satu budaya baru di kalangan usahawan Bumiputera,” kata Najib.

Beliau turut memberi contoh kontrak LRT yang diberikan baru-baru ini, sebanyak 45 peratus daripada jumlah nilai kontrak itu telah diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera berdasarkan merit kerana mereka telah dikenal pasti sebagai layak dan berkebolehan dalam melaksanakan projek-projek yang diberikan. — Bernama