PBB Paya Mebi sumbang kerusi roda kepada penghidap gaot

0

KUCHING: Kesukaran untuk berjalan yang dihadapi Jahmah Seman setelah menderita penyakit gaot yang serius sejak enam bulan lalu mendapat perhatian Biro Sosial dan Kebajikan PBB Paya Mebi baru-baru ini apabila menyumbangkan kerusi roda kepada wanita warga emas berusia 70 tahun itu.

Menerusi Program Kasih dan Sayang, penyerahan bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Pemuda PBB Batu Kawa Shamsudin Unai di kediaman Jahmah di Kampung Paya Mebi, dekat sini.

“Bantuan ini merupakan pemberian ikhlas daripada Biro Sosial dan Kebajikan PBB Paya Mebi yang prihatin dengan keadaan Jahmah yang menderita akibat penyakit gaot yang teruk menyebabkannya tidak dapat berjalan.

“Kami berharap bantuan ini akan membantu memudahkan pergerakan Jahmah,” katanya.

Sementara, Jahmah yang baharu dua minggu berada di rumah setelah terlantar di hospital disebabkan penyakitnya itu menyuarakan penghargaannya kepada Biro Sosial dan Kebajikan PBB Paya Mebi atas bantuan mereka.

“Saya bersyukur dan berbesar hati menerima bantuan ini.

“Terima kasih kepada PBB kerana prihatin dengan keadaan saya,” katanya.

Menurut Jahmah, dia sememangnya amat memerlukan kerusi roda kerana tidak dapat berjalan tanpa bantuan alat sokongan tersebut.

“Tapak kaki saya akan terasa amat sakit apabila dibawa berjalan dan perlu dipapah oleh dua orang untuk berjalan.

“Dengan bantuan kerusi roda ini, akan memudahkan saya bergerak di dalam rumah, pergi ke bilik mandi dan ke klinik,” katanya.

Disebabkan penyakitnya itu, Jahmah kini turut mengalami lemah sebelah badan.

Dia juga sedang menjalani pemeriksaan berkala di klinik dan bergantung kepada ubat bagi menahan kesakitan.

Turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan tersebut ialah Timbalan Ketua PBB Paya Mebi Ramli Bujang serta ahli keluarga Jahmah.