Site Last Updated 12:59 am, Friday

Pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna satu kejutan

Posted on March 5, 2013, Tuesday

LIMBANG: Tindakan pihak luar yang menghuru-harakan negara seperti yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna, Sabah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah satu kejutan dan tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata tuntutan yang dibuat oleh penceroboh luar iaitu Kesultanan Sulu terhadap Sabah tidak harus dilakukan dengan kekerasan termasuk melakukan pencerobohan secara bersenjata.

“Kita tidak tahu tindakan Kesultanan Sulu melakukan pencerobohan adalah secara kebetulan atau dirancang ketika menjelang pilihan raya.

“Namun, ia merupakan satu kejutan yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya di sini semalam.

Hasbi berkata tindakan penceroboh terbabit pastinya meninggalkan kesan negatif terhadap kedaulatan negara Malaysia yang selama ini rakyatnya hidup dalam keadaan maju, aman dan selamat.

“Keadaan pencerobohan ini memberi kesan tidak baik kepada negara dan memberi imej negatif di mata dunia.

“Ini termasuk aspek pelancongan serta menjejaskan ekonomi dan pelaburan yang dibuat pelabur luar di Malaysia,” katanya.

Hasbi menyifatkan insiden pencerobohan itu amat menyedihkan kerana turut mengorbankan para perajurit negara yang melakukan operasi keselamatan di kawasan sempadan Sabah.

“Takziah kepada anggota keselamatan yang terkorban dan kita yakin atas kewibawaaan, kesungguhan dan pengalaman para anggota keselamatan, keadaan yang berlaku di kawasan berkenaan dapat dikawal,” tambahnya.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia amat berterima kasih atas kesungguhan negara Filipina yang banyak membantu menangani insiden pencerobohan oleh Kesultanan Sulu selain memberi sokongan padu menyelesaikan masalah itu dengan baik.

“Kita yakin Malaysia akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti siapa dalang yang mencetuskan insiden terburuk itu dengan bukti yang kukuh,” ujarnya.

Hasbi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.

“Justeru, insiden pencerobohan itu juga tidak akan menjejaskan Pilihan Raya Umum yang akan diadakan di negara ini dalam masa terdekat ini,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.