Rakyat harus utama semangat kesukarelaan

0
PULIHARA ALAM: Hasbi (kanan) dan Charin (kiri) menanam pokok payung pada Program Penanaman Sejuta Pokok di Limbang semalam.

PULIHARA ALAM: Hasbi (kanan) dan Charin (kiri) menanam pokok payung pada Program Penanaman Sejuta Pokok di Limbang semalam.

LIMBANG: Rakyat di negara ini sewajarnya meletakkan semangat kesukarelaan di tahap lebih tinggi untuk memastikan negara terus kekal aman, membangun dan stabil tanpa bersandarkan kepada imbuhan semata-mata.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata segala amanah dan kerja yang dilakukan bukan hanya bersandarkan gaji tetapi perlu dilakukan atas semangat kesukarelaan yang tinggi.

Katanya semangat kesukarelaan wajar disuburkan dan diamalkan tidak mengira agensi kerajaan, swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan negara ini terus membangun dan stabil.

“Kita perlu tanya dalam diri sendiri di mana kita meletakkan semangat kesukarelaan, adakah tugas dan tanggungjawab itu dilakukan atas imbuhan semata-mata atau kerana semangat kesukarelaan yang menebal dalam diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Gelombang Kesukarelaan, Penanaman Sejuta Pokok Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini semalam.

Program anjuran Jabatan Penjara Malaysia Limbang itu turut menyasarkan menanam 1,000 pokok di sepanjang kawasan penjara.

Hadir sama Pengarah Penjara Limbang Charin Promwichit.

Hasbi berkata semangat kesukarelaan wajar diamalkan tidak kira di mana mereka berada tanpa mengira jenis kerja dan tugas yang dilakukan.

“Oleh itu, kita perlu menyeimbangkan semangat kesukarelaan dalam diri bukan sekadar berdasarkan gaji tetapi juga ibadah yang dilakukan dalam setiap aspek kehidupan,” ujarnya.

Katanya budaya anak-anak muda di Malaysia yang dilahirkan dalam kemewahan sehingga mengabaikan sifat kesukarelaan wajar dikikis.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menoleh dan menyelami kesusahan orang terdahulu ketika hidup dalam keadaan genting dan berdepan pemberontakan.

“Melihat keadaan ini, anak-anak muda perlu mengubah kehidupan dan negara ke arah lebih baik dengan rasa keinsafan, kesedaran selain meningkatkan semangat kesukarelaan yang tinggi bagi mencapai hasrat tersebut,” ujarnya.

Beliau menembah, zaman globalisasi tidak harus dilihat sebagai faktor yang boleh menenggelamkan sifat kesukarelaan kerana rakyat Malaysia mempunyai tujuan yang sama untuk membangun negara bangsa.

“Malah, dengan adanya semangat kesukarelaan ini akan memudahkan negara mencapai objektif terus membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat.

Selain semangat kesukarelaan, Hasbi turut menekankan betapa pentingnya semangat berpasukan antara jabatan kerajaan lain.

“Jangan bekerja dalam ruang lingkup kita sahaja, sebalikknya setiap kakitangan kerajaan dan swasta perlu saling bekerjasama membantu kerana mereka juga saling berkaitan antara satu sama lain,” katanya.

Pada program itu, Jabatan Penjara Limbang turut menanam 200 pokok selain menyasarkan penanaman 1,000 pokok.