Site Last Updated 1:16 am, Sunday

Sabah timbang bantuan kepada keluarga mangsa korban insiden tembakan

Posted on March 5, 2013, Tuesday

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan kepada anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan serangan di Semporna, bahagian pantai timur Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet negeri akan datang.

“Semua mereka yang terkorban akan diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi menolong keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mangsa serangan di Semporna Sarjan detektif Baharin Hamit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Turut hadir timbalan-timbalan ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Yahya Hussin, Datuk Dr Yee Moh Chai dan isteri kepada Allahyarham Sumiati Suarah serta anggota keluarga terdekat.

Jenazah Allahyarham Baharin kemudian dibawa ke tanah perkuburan Islam Batu 2 1/2 Jalan Tuaran, dekat sini untuk disemadikan.

Baharin, 49, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan mula bertugas sebagai anggota polis pada tahun 1984, merupakan seorang daripada enam anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna Sabtu lepas.

Lima lagi yang terkorban ialah ialah Supt Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, ASP Michael Fadel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Kpl Salam Tongiran (IPD Tawau) dan L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).

Musa berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat Malaysia di Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam insiden di Semporna.

“Kita berasa sedih dengan insiden ini dan bersimpati dengan keluarga mereka.

Kita berharap agar mereka bersabar dan tabah menghadapi situasi yang sukar ini.

“Marilah kita mendoakan semoga roh para pejuang kita ini dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin,” katanya.

Musa turut mengajak semua lapisan masyarakat untuk terus bersatu hati dan mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan.

“Rakyat juga perlu terus memberi keyakinan penuh kepada keupayaan dan kemampuan pasukan keselamatan kita dalam menangani situasi ini dan mempertahankan kedaulatan negara selain memastikan keamanan serta keselamatan rakyat sentiasa terpelihara,” kata beliau. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.