Tindakan panik orang ramai lebih burukkan keadaan

0

KOTA KINABALU: Tindakan segelintir masyarakat setempat di bandaraya ini yang berpusu-pusu membeli barangan keperluan makanan seperti beras akibat panik dengan situasi yang berlaku di Lahad Datu sebenarnya lebih memburukkan lagi keadaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisiner Jauteh Dikun menasihatkan agar masyarakat tidak perlu tergesa-gesa membuat persediaan dengan membeli barangan keperluan makanan secara berlebih-lebihan.

Katanya, tindakan itu akan lebih memburukkan keadaan memandangkan sekarang ini orang ramai sangat risau dengan situasi semasa di negeri ini ekoran kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

“Sepatutnya orang ramai jangan panik hingga membeli secara berlebih-lebihan. Berbelanjalah seperti biasa kerana keadaan keselamatan di bandaraya masih pada tahap yang sempurna dan baik.

“Jangan mudah terpengaruh dan percaya dengan sebarang maklumat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau apa sahaja kandungan yang dimasukkan dalam media terutamanya ‘Facebook’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan taklimat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Bandaraya bersama Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Abidin Madingkir di sini kelmarin.

Menurutnya, pihak polis sentiasa membuat siasatan terhadap apa juga maklumat yang diterima hingga berpuas hati.

Jauteh berkata, bagi kawasan bandaraya ini, kawalan dijalankan dengan berwaspada dan sekatan jalan turut dilaksanakan.

“Kita ada membuat beberapa sekatan jalan seperti di kawasan Telipok dan Alamesra untuk memantau dan juga sebagai langkah pencegahan.

“Perbuatan mereka yang menyebarkan maklumat tidak berasas adalah tidak beretika kerana boleh menimbulkan kerisauan kepada orang ramai.

“Hentikanlah perbuatan berkenaan dan orang ramai yang menerima sebarang berita sama ada melalui SMS atau Facebook boleh terus menghubungi polis jika was-was dengan maklumat terbabit,” katanya.

Sementara itu, Abidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Bandaraya berkata keadaan di bandaraya ini masih aman sebagaimana yang dijelaskan oleh polis.

Justeru, beliau mahu agar masyarakat tidak panik hingga mengambil tindakan yang boleh menjejaskan keamanan sedia ada.