Anak mendiang Michael tabah hadapi dugaan

0

Tidak mengalirkan setitik air mata, malah kelihatan lebih tabah daripada ibunya

SERIAN: “Jaga mummy baik-baik.” Demikian pesanan terakhir yang diberikan oleh mendiang ASP Michael Padel kepada anak tunggalnya, Macluie sehari sebelum terkorban dalam kejadian serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna pada Sabtu lepas.

Pesanan itu jelas dipegang oleh Macluie atau lebih mesra dengan panggilan Mac oleh bapanya, yang tidak mengalirkan setitik air mata, malah kelihatan lebih tabah daripada ibunya.

Malah ketika diminta ke Hospital Semporna untuk melakukan pengecaman pada mayat bapanya, Mac yang berusia 11 tahun meminta ibunya menunggu di luar sambil berkata:

“Mummy, saya mesti tabah (supaya) boleh jaga mummy. Ini semua takdir. Anggap sahaja bapa sedang tidur.”

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi polis juga tidak melihat insiden hitam itu sebagai pematah semangat untuk meneruskan jejak langkah bapanya.

Sebaliknya, ia menjadikan semangatnya lebih berkobar-kobar untuk terus mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

“Bila dah besar kelak saya mahu menjadi polis. Kenapa mereka (penceroboh) buat begitu kepada daddy? Saya mahukan keadilan,” katanya ketika ditemui di kampung halaman mendiang Michael di Kampung Tebakang Bidayuh, di sini.

Mendiang Michael yang berkhidmat sebagai polis lebih 10 tahun dan mula bertugas di Kunak selama sembilan tahun, dan Tawau selama dua tahun sebagai pegawai Cawangan Khas sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Cawangan Khas Daerah Semporna pada Februari lalu.

Sementara itu balu mendiang, Jabah Mingku tidak menyangka persiapan mereka yang menetap di Tawau sebelum ini untuk berpindah ke Semporna, dijadualkan 15 Mac ini, sebaliknya merupakan persiapan untuk berpindah ke Sarawak.

Menurut Jabah, 35, kali terakhir beliau berjumpa dengan suami tercinta adalah ketika mendiang kembali ke Tawau pada 22 Februari lepas.

“Pada pagi Isnin (25 Februari), jam 5 pagi sebelum turun ke Semporna semula, dia (Michael) bergenang air mata seolah-olah berat hati meninggalkan kami dan pada saat itu, saya sudah mula tidak sedap hati,” katanya.

Jabah turut memberitahu bahawa suaminya sering menghubungi mereka untuk bertanya khabar dirinya serta anak mereka sambil memberitahu keadaan di Semporna masih terkawal.

Bagaimanapun hanya mampu berharap agar suaminya masih terselamat setelah menerima beberapa panggilan telefon termasuk daripada ahli keluarga untuk mengesahkan jika suaminya terkorban dalam kejadian serang hendap itu.

“Saya hanya mampu memberitahu mereka belum ada pengesahan daripada OCPD (Ketua Polis Daerah) dan jangan percaya dengan khabar angin,” katanya.

Michael dan Jabah telah berkahwin selama 12 tahun, baharu memperbaharui ikatan perkahwinan di sebuah gereja Katolik pada 19 Oktober lepas.

Beliau turut menyifatkan mendiang sebagai penyayang dan amat rapat dengan anaknya dengan sering meluangkan masa bersama menonton perlawanan bola pasukan Barcelona serta bermain futsal bersama.

Selain itu, mendiang juga sempat menghubungi adik iparnya yang merupakan seorang polis berpangkat sarjan yang bertugas di Johor Baharu dan memberinya kata-kata nasihat.

Antara nasihat terakhir mendiang Michael kepada Frankie Voon adalah untuk sentiasa merendah diri dan jangan sesekali membeza-bezakan diri dengan anggota yang berpangkat lebih rendah.

Frankie, sebalik mengetahui insiden menimpa abang iparnya terus mengambil penerbangan dari Johor Baharu ke Kota Kinabalu, sebelum ke Tawau untuk menemani Jabah serta Mac.

Malah sewaktu di Semporna, Michael sering menekankan pendidikan khususnya dalam menguasai bahasa Inggeris kepada Mac, selain untuk menjaga ibunya dengan baik.

“Saya masih tidak percaya beliau akan pergi meninggalkan saya sewaktu usia saya masih muda.

“Entah bagaimana masa depan kami anak beranak dengan ketiadaannya…saya harap anda semua akan terus mendoakan kami tabah menghadapi masa depan,” katanya.

Mayat mendiang Michael yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAK) Kuching pada jam 5.30 petang Isnin, dijangka akan disemadikan di Makam Pahlawan di sini pada hari ini, dijangka bermula jam 11 pagi.

Michael yang lahir pada 5 Februari 1977, merupakan pegawai polis pertama disemadikan bersama-sama pahlawan Sarawak di makam tersebut selain 21 Iban Trekkers dan penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) serta Pingat Gagah Berani (PGB) Datuk Temenggung Kanang Langkau yang meninggal dunia Januari lepas.

Kejadian di perkampungan atas air pada jam 8 malam itu turut menyebabkan enam anggota kumpulan bersenjata itu terbunuh.

Turut terkorban dalam serangan hendap itu ialah Superintenden Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, Sarjan Detektif Baharin Hamid (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah), Sarjan Aziz Sarikun (Pasukan Gerakan Am Tawau), Koperal Salam Togiran (IPD Tawau) dan Lans Koperal Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).