Keselamatan negara menjadi keutamaan, kata Sebastian

0

MIRI: Semua warga Malaysia tanpa mengira latar belakang politik, agama dan kaum harus bersatu hati dan memberi sokongan kepada negara dan anggota keselamatan di Lahad Datu bagi mempertahan keselamatan negara, bukannya mempertikai atau menyebarkan khabar angin tidak berasas di laman sosial.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau Datuk Sebastian Ting berkata keselamatan negara menjadi keutamaan pada masa sekarang dan inilah masanya rakyat harus bersatu atas semangat 1Malaysia.

“Ini bukan masa untuk kita membuat sebarang komen di laman sosial seperti Facebook untuk mengutuk kerajaan ataupun tentera dan anggota keselamatan kita, sebaliknya kita harus bersatu hati dan mendoakan keselamatan mereka dan penduduk yang terjejas di Lahad Datu.

“Kita menyayangi negara kita dan keselamatan adalah perkara yang menjadi keutamaan.

“Justeru, saya menggesa semua rakyat tanpa mengira pegangan politik agar bersatu hati menyokong kerajaan melindungi keselamatan negara,” katanya di sini semalam.

Sebastian yang juga setiausaha politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan panik dan ketakutan khususnya kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan tersebut.

“Jangan mensensasikan atau membuat spekulasi tidak berasas mengenai situasi sebenar di sana.

“Ia hanya memberi lebih banyak tekanan dan panik kepada orang awam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sebastian turut melahirkan perasaan simpati dan mengucapkan takziah kepada ahli-ahli keluarga anggota keselamatan yang terbunuh berikutan insiden pencerobohan Sulu di Lahad Datu, sejak minggu lalu.

“Semua doa kami ditujukan kepada mangsa, anggota keselamatan termasuk polis dan tentera dan penduduk di Sabah semasa menghadapi waktu-waktu sukar begini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sebastian memberitahu SUPP Miri/Piasau menawarkan perkhidmatan mengumpul derma yang akan disalurkan ke Tabung Wira Lahad Datu.

“Sebagai menyahut cadangan beberapa pihak, parti setuju membantu mengumpul wang derma dan sumbangan sama ada daripada individu atau syarikat,” katanya sambil menambah orang awam boleh menderma dalam bentuk wang atau cek.

Sebastian menambah, sumbangan berbentuk cek hendaklah ditulis kepada Tabung Wira Lahad Datu dan setiap penderma akan diberi resit sebagai bukti penerimaan.

Orang awam yang mahu menderma boleh menghubungi Lim di talian 085-423399 (085-416603) atau datang sendiri ke pejabat SUPP Miri Piasau berhampiran Servay Hypermarket untuk menyerahkan sumbangan.

Hadir sama Pengerusi SUPP Pujut Andy Chia.