Site Last Updated 1:14 am, Sunday

MIA kutip derma bantu keluarga anggota polis terkorban

Posted on March 6, 2013, Wednesday

MIRI: Atas dorongan rasa simpati dan perikemanusiaan, Persatuan India Miri (MIA) mengambil inisiatif untuk mengutip derma di kalangan ahlinya bagi disalurkan ke tabung kebajikan keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah.

Presidennya, Karambir Singh berkata MIA menyasarkan kutipan derma sekurang-kurangnya RM2,000 daripada masyarakat India di sini.

“Meskipun masyarakat kami di sini agak kecil, namun kami berasa cukup terpanggil untuk memainkan peranan dalam memberi sumbangan kepada keluarga beberapa orang perwira negara yang gugur dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Inisiatif ini juga bukan sekadar untuk menunjukkan rasa simpati, tetapi juga sebagai tanda penghargaan atas keberanian perwira-perwira yang terkorban dalam insiden pencerobohan itu,” katanya di sini semalam.

Menurut Karambir, sehingga kelmarin jumlah sumbangan yang  telah diterima sebanyak RM1,000 dan mereka masih berusaha untuk mengutip lebih banyak derma sehingga mencapai jumlah sasaran.

Sehubungan itu, pihak MIA akan mengatur satu pertemuaan dengan Ketua Polis Daerah Miri untuk menyerahkan sumbangan tersebut.

“Justeru, saya amat berharap agar beberapa persatuan lain turut mengikut jejak langkah MIA dan seterusnya menghulur bantuan kepada keluarga para pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna,” ujarnya.

Dalam insiden itu, dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam kejadian tembakan membabitkan kedua-dua pihak polis dan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada pagi 1 Mac lalu.

Manakala enam lagi anggota polis terkorban dalam serang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai tentera Sultan Sulu ketika operasi di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna pada 2 Mac lalu.

Karambir turut menyampaikan rasa simpati dan mengucap takziah kepada keluarga dan sahabat-handai perwira-perwira negara yang terkorban.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.