Semua pemain berpeluang wakili Sarawak Piala Emas Khir Johari

0
BERPELUANG: Paruwadi (berdiri lima kanan), Abdul Rahman (tiga kanan) dan Azman (dua kiri) bersama para pemain pada kejohanan sepak takraw di Kampung Semerah Padi, Kuching Ahad lalu.

BERPELUANG: Paruwadi (berdiri lima kanan), Abdul Rahman (tiga kanan) dan Azman (dua kiri) bersama
para pemain pada kejohanan sepak takraw di Kampung Semerah Padi, Kuching Ahad lalu.

KUCHING: Semua pemain yang mengambil bahagian pada Kejohanan Sepak Takraw Amal Tabung Kasih Palestin akan diberi peluang mengikuti sesi pemilihan untuk mewakili Sarawak pada Kejohanan Piala Emas Khir Johari edisi ke-50 yang dijadual berlangsung di Kedah pada April.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Paruwadi Musa berkata peluang itu diberikan sebagai tanda terima kasih persatuan terhadap penganjur kejohanan, Kelab Sepak Takraw Kampung Semerah Padi Fasa I (KASMERA).

“PSS berasa bangga dan terharu dengan inisiatif KASMERA yang bukan sahaja berusaha memartabatkan sukan sepak takraw, namun turut menjadikannya sebagai satu landasan bagi para belia beramal.

“Ini adalah satu usaha yang cukup murni dan perlu diberikan sokongan berterusan.

Saya berharap selepas ini lebih banyak kelab sukan sepak takraw di kawasan atau kampung-kampung lain meneruskan usaha baik ini pada masa akan datang,” katanya ditemui pada penutupan kejohanan sepak takraw di Kampung Semerah Padi Fasa I, di sini Ahad lalu.

Menurut Paruwadi, biarpun kejohanan tersebut hanya di peringkat kampung, namun mampu dijadikan medan mencungkil pemainpemain berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyumbang sejumlah RM1,000 kepada tabung KASMERA.

Sementara itu, regu KASMERA C dinobatkan johan setelah menundukkan Sekama dengan 2-0 (21-15, 21-19).

Tempat ketiga pula dikongsi bersama oleh regu Stakan A dan Ejok A.

Kejayaan itu membolehkan KASMERA C membawa pulang hadiah berjumlah RM200 berserta hamper.

Sekama pula menerima RM100, manakala Stakan A dan Ejok A berkongsi RM50.

Sejumlah 33 regu dari sekitar Bandaraya Kuching mengambil bahagian pada kejohanan yang berakhir Ahad lalu di gelanggang sepak takraw Kampung Semerah Padi Fasa I, di sini.

Hadiah kepada pada pemenang disampaikan Paruwadi.

Hadir sama Pengerusi Kelab Sepak Takraw KASMERA, Abdul Rahman Ali dan Pengerusi Aqsa Syarif Sarawak, Azman Zen.