Ceramah ‘Lest We Forget’ di IIC esok

0

KUCHING: Pusat Penerangan Islam (IIC) akan mengadakan ceramah umum bertajuk ‘Lest We Forget’ di auditorium IIC di sini esok (Jumaat) pada jam 7.30 malam.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, objektif ceramah adalah untuk memberi gambaran tentang cabaran yang dihadapi oleh penduduk Gaza selepas pengeboman Gaza oleh tentera Zionis Israel.

Penceramah yang telah dijemput untuk menyampaikan ceramah berkenaan adalah Profesor Madya Dr Tengku Shahrom Tengku Shahdan.

Tengku Shahrom merupakan seorang ketua sekretariat bagi AQSA Syarif Malaysia, salah satu pertubuhan bukan kerajaan berpangkalan di negara ini yang menyediakan bantuan kemanusiaan melalui penghantaran makanan, bekalan perubatan dan pendidikan kepada rakyat Palestin dan di kem sementara di Beirut, Jordan serta Syaria.

Beliau juga merupakan seorang dekan Fakulti Teknologi Maklumat di Universiti Antarabangsa UNITAR dan sebelum ini memegang jawatan ketua pegawai eksekutif e-Pembelajaran, Kandungan dan Pembangunan Sistem Syarikat dalam industri IT.

Selain ceramah itu, IIC turut mengadakan satu Luncheon Talk bersama media pada 9 Mac, iaitu salah satu program melibatkan media dengan tujuan mengete-ngahkan isu-isu semasa dalam suasana santai.

Tajuk Luncheon adalah Gaza: Up Close and Personal yang diadakan di Baruk Atas IIC. Program-program yang dianjurkan IIC adalah selaras dengan usaha pusat ini bagi mempromosikan dan menyampaikan maklumat Islam serta memacu pengalaman dan penghayatan Islam dalam kalangan penduduk berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Penyertaan ceramah adalah terbuka kepada umum manakala penyertaan Luncheon Talk adalah khas untuk jemputan sahaja.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Muhamad Zakaria Ashmat atau Khabirudeen Pulaver di IIC di talian 082-420 798 atau 082-420 628 atau faks 082-414 809.