Pembinaan stadium diharap dapat tingkat sukan bola tampar di Sarawak

0

SIBU: Pembinaan stadium bola tampar milik Persatuan Bola Tampar Sarawak (SAVA) di Taman Rejang diharap dapat meningkatkan lagi sukan tersebut di negeri ini.

Presiden Persatuan Bola Tampar Sibu (SVA), Dr William Ting berkata Sarawak sememangnya sudah dikenali sebagai kuasa sukan bola tampar di Malaysia apabila tidak pernah terlepas gelaran pada kejohanan peringkat kebangsaan.

“Diharap dengan siapnya stadium ini pada penghujung tahun ini akan dapat membantu meningkatkan mutu sukan bola tampar di negeri,” katanya pada majlis perletakan batu asas stadium terbabit yang disempurnakan Ahli Parlimen Lanang, Datuk Tiong Thai King.

Hadir sama Presiden SAVA Temenggong Vincent Lau Lee Ming, Pengerusi SVA Moh Ung Ming dan Timbalan Pengerusi MPS, Daniel Ngieng.

Menurut Ting, dengan adanya stadium bersepadu bertaraf antarabangsa itu nanti akan membolehkan pemain menjalani latihan secara lebih insentif bagi menghadapi sebarang kejohanan peringkat negeri mahupun kebangsaan.

“Kita amat berbangga kerana memiliki stadium bola tampar yang terbaik di negeri ini bagi kegunaan pemain menjalani latihan,” jelas beliau.

Pembinaan stadium itu mulanya menelan kos RM6 juta menjadi kenyataan apabila mendapat kerjasama Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) yang menyumbangkan RM3 juta kepada SAVA.

Namun, kata Ting, kos pembinaan kini memerlukan tambahan RM4 juta lagi bagi melakukan kerja-kerja akhir khususnya di dalam stadium.

“Tetapi, kita amat bertuah kerana ada pihak yang sanggup membantu menampung kos pembinaan tambahan ini,” katanya sambil menambah stadium itu nanti mampu memuatkan sehingga 5,000 penonton.

Stadium ini dilengkapi teknologi terkini mempunyai tiga gelanggang bola tampar, tempat duduk penonton selain pejabat dan asrama untuk pemain- pemain.