YSD menawarkan peluang belajar di China

0

KUCHING: Yayasan Sime Darby (YSD) kini menawarkan peluang belajar di China kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Program Pertukaran Pelajar YSD di negara republik itu.

Bagaimanapun kemahiran dalam bahasa Mandarin bukan prasyarat bagi program yang merupakan perkongsian antara YSD bersama Majlis Biasiswa China (CSC).

Kerjasama ini untuk menggalakkan pembangunan hubungan dua hala antara Kerajaan Malaysia dan China melalui pendidikan tinggi di samping meningkatkan tahap persefahaman rakyat kedua-dua negara.

Program biasiswa edisi kedua itu akan memperuntukkan 10 biasiswa diberikan kepada pelajar Malaysia di mana mereka akan menjalani asas setahun dan kursus bahasa Mandarin di China, yang membawa kepada satu program empat tahun ijazah di beberapa universiti di China termasuk Universiti Peking, Universiti Tsinghua dan Universiti Zhenjiang.

Biasiswa penuh pula meliputi yuran tuisyen, perbelanjaan sara hidup, penginapan, buku, elaun dan banyak lagi.

Dengan bantuan CSC, YSD juga akan memanjangkan faedah pendidikan lain kepada penerima biasiswa termasuk penyertaan dalam program pembangunan serta latihan sebelum menyertai tenaga kerja di Sime Darby dan biasiswa kebajikan serta akademik semasa tempoh biasiswa.

Tahun ini YSD juga menawarkan biasiswa untuk pelajar-pelajar Malaysia untuk mengikuti pengajian pascasiswazah di Indonesia di bawah program luar negara ini.

Penerima akan menerima biasiswa penuh untuk belajar dalam kursus Pertanian, Pengurusan Perladangan serta kursus relevan lain di universiti-universiti terpilih di Indonesia seperti Universiti Indonesia, Universiti Gadjah Mada dan Institut Pertanian Bogor (IPB).

Di samping itu, Ahli Majlis YSD Tan Sri Datuk Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, tahun ini usaha bersepadu juga dijalankan melalui perkongsian dengan institusi akademik terpilih di Sabah dan Sarawak untuk membantu lebih ramai pelajar yang kurang berkemampuan menerusi pelbagai ijazah, sarjana muda dan vokasional.

“Terdapat ramai pelajar yang mempunyai potensi besar untuk berjaya dalam akademik atau vokasional namun tidak mempunyai cara untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Sebagai yayasan penyayang, peranan kami adalah memastikan bahawa kumpulan generasi muda ini tidak ketinggalan dan diberi peluang yang sama untuk mendapat masa depan lebih baik melalui program dermasiswa kami,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, semalam.

YSD dalam pada itu akan terus menumpukan perhatian membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melalui peruntukan lebih daripada 70 peratus biasiswa yang dirancangkan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Bagi Special Support Bursary Programme (Tempatan) YSD, ia disediakan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai skor minimum CGPA 3.0 dalam keputusan akademik terbaharu mereka dan pendapatan keluarga tidak melebihi RM2,500 sebulan.

Sementara bagi program Special Needs Bursary Programme (Tempatan) ia layak kepada orang kurang upaya (OKU) dengan PNGK minimum 2.5 dalam keputusan akademik terbaharu mereka tanpa pendapatan isi rumah minimum diperlukan.

YSD juga menawarkan biasiswa kepada 60 pelajar vokasional cenderung di bawah Program Peningkatan Kemahiran.

Program ini bertujuan menyokong pelajar yang tidak mampu dari segi kewangan tetapi berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat vokasional di kedua-dua akademi Sime Darby.

Calon-calon yang berjaya akan meneruskan pengajian peringkat diploma atau program sijil teknikal di Kolej Kejururawatan dan Sains Perubatan Sime Darby atau Akademi Industri Sime Darby.

Pada 2012, YSD menawarkan biasiswa bernilai RM22.5 juta kepada 380 pelajar dalam pelbagai kategori.

Untuk memohon layari www.yayasansimedarby.com/malaysia. Tarikh tutup permohonan adalah 31 Mac 2013.