Rakyak diajak bersatu sokong kerajaan pertahan tanah air

0

MIRI: Ketepikan seketika perbezaan politik, kepercayaan dan bangsa, sebaliknya semua penduduk diajak bersatu hati dengan membangkitkan semangat patriotisme demi mempertahankan kedaulatan tanah air.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting dalam kempen perpaduannya yang dilancarkan beberapa hari lagi, di sini menggesa semua rakyat Malaysia supaya memberi sokongan padu kepada kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara, ekoran serangan penceroboh bersenjata Sulu ke atas Lahad Datu, yang menumpahkan darah di bumi Sabah, agar negara sentiasa aman.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media khas di sini semalam, Sebastian memberitahu kali ini beliau bergerak sebagai rakyat biasa tanpa mahu dibayangi oleh politik mahupun sesiapa, bersama warga Miri yang lain menjalankan kempen perpaduan untuk keamanan negara.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya tergerak untuk memulakan kempen perpaduan ini bagi meningkatkan kesedaran khususnya di kalangan generasi muda, yang pastinya tidak pernah berasa bagaimana negara diancam, seperti yang berlaku kini.

“Selepas negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun, kita tidak pernah digugat seperti hari ini (serangan ke atas Lahad Datu), terutama bagi gene-rasi muda mereka pastinya tidak pernah berasa diancam kerana sentiasa aman.

“Justeru kempen ini dilancarkan untuk menyeru perpaduan ke arah ke-amanan dan menyatupadukan penduduk tanpa mengira latar belakang bangsa, agama, kepercayaan mahupun pemikiran politik mereka,” katanya.

Melalui kempen tersebut, beliau bersama para penyokong kempen akan mendapatkan tanda tangan penduduk di sini dan seterusnya akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tanda sokongan warga Miri ke arah ke-amanan.

“Walaupun kita tidak berjuang bersama perwira untuk bertempur di barisan hadapan, tetapi saya berharap kita semua bersatu hati dengan semangat patriotisme dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan agar tanah air kita akan sentiasa aman,” tambah-nya.

“Janganlah kita berpecah-belah hanya kera-na tidak bersefahaman, sebaliknya kukuhkan perpaduan kita demi negara yang tercinta ini,” katanya.

Mengenai kempen tersebut, Sebastian memberitahu dari semasa ke semasa selepas dilancarkan kelak, mereka akan membawa papan tanda ke beberapa lokasi strategik untuk mendapatkan tandatangan penduduk.

“Kita akan bertemu dengan rakyat di Miri untuk mendapatkan tanda-tangan mereka sebagai membuktikan sokongan mereka terhadap keama-nan negara,” katanya sambil menambah, kempen mendapatkan tandatangan perpaduan itu akan dilancarkan di satu tempat yang akan diumumkan.

Sementara itu, beliau turut mengajak seluruh warga Miri supaya bersama-sama mendoakan kejayaan dan merakamkan penghargaan kepada wira-wira negara (pasukan polis dan tentera) atas jasa mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara, khususnya di Lahad Datu, Sabah.