Anak yatim dipelawa agar daftar dengan Peryatim Miri

0

MIRI: Kompleks Kebajikan Hamidah Miri (KKHM) atau lebih dikenali sebagai Peryatim Miri mengalu-alukan lebih ramai anak yatim terutama golongan berpendapatan rendah berdaftar dengan rumah kebajikan itu.

Pengurusnya, Dayang Noorjanah Awang Jaya berkata mereka masih boleh menerima seramai 30 orang anak yatim memandangkan rumah kebajikan tersebut mampu menampung seramai 100 orang penghuni pada suatu masa.

Setakat ini, katanya, KKHM menjaga kebajikan seramai 70 orang anak yatim yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun dan semuanya masih bersekolah termasuk dua orang yang tinggal di sekolah berasrama penuh.

Daripada jumlah itu, hanya dua penghuninya yang yatim piatu, manakala selebihnya hanya yatim iaitu sama ada kehilangan ayah atau ibu kerana meninggal dunia serta ibu atau bapa tunggal.

Noorjanah juga memberitahu kebanyakan anak yatim yang berdaftar di rumah kebajikan itu berasal dari kawasan utara Sarawak seperti Limbang, Miri, Marudi, Bintulu dan sebilangan kecil dari Mukah.

“Sejak tahun lalu, kita telah mengambil anak yatim yang bukan beragama Islam dan setakat ini seramai lapan orang telah berdaftar di sini,” katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau, KKHM ingin membantu anak-anak yatim terutamanya dari keluarga miskin termasuk yang dijaga ibu atau ayah tunggal dalam aspek pendidikan.

“Kami tidak mempunyai kemewahan di sini namun akan memberikan mereka keperluan asas seperti penginapan selesa, seragam sekolah, peralatan pembelajaran, makan minum, duit saku dan pengangkutan ke sekolah,” katanya ditemui semasa menerima lawatan Persatuan Wanita Petroleum Miri (PWPM).

Rombongan terbabit diketuai presidennya, Charito Paulino turut menyampaikan sumbangan makanan.

Sementara itu, Noorjanah memberi jaminan kepada ibu bapa  agar tidak perlu bimbang tentang aspek kewangan ketika menghantar anak-anak mereka ke rumah kebajikan tersebut kerana kemasukan adalah percuma dan keperluan harian mereka ditanggung oleh KKHM.

“Kita di sini akan memberikan pendidikan penuh dari peringkat sekolah rendah hingga ke institut pendidikan tinggi. Bagi yang bermalam di asrama, mereka turut diberi duit saku bulanan dan apabila telah tamat tingkatan lima mereka akan kembali ke keluarga masing-masing,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu dua cawangan baharu Peryatim iaitu masing-masing satu di Sibu dan Bintulu akan siap sepenuhnya pada 2014.

Menurut Noorjanah, apabila dua cawangan baharu itu siap nanti maka lebih banyak tempat di KKHM untuk menempatkan anak-anak yatim dari Bahagian Limbang dan Miri.

“Objektif utama KKHM adalah membina insan cemerlang, bermoral, berdisiplin serta berkeyakinan. Manakala matlamatnya pula adalah untuk mentransformasi KKHM atau Peryatim Miri menjadi sebuah pusat pembangunan anak-anak yatim yang cemerlang dan seterusnya menjadi contoh kepada rumah anak yatim lain di negara ini,” katanya.

Beliau memberitahu, syarat kemasukan ke KKHM adalah mudah iaitu anak-anak yang telah kematian ibu atau ayah atau kedua-duanya serta daripada golongan keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM750 sebulan serta berusia tujuh hingga 18 tahun.

Untuk mendapatkan keterangan lanjut, mereka boleh datang sendiri ke KKHM yang terletak di Lot 2930, Blok 6 Desa Indah 3 di sini semasa waktu pejabat atau menghubungi talian 085-408421/22.