Anak Samarahan untuk Samarahan

0

KM yakin calon baharu BN akan mendapat sokongan rakyat pada PRU13

SAMARAHAN: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ingin lihat anak Samarahan menjadi ahli Parlimen bagi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Berucap di hadapan ribuan penduduk dan penyokong Barisan Nasional (BN) pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Samarahan semalam, Taib memberitahu nama calon berkenaan telahpun dihantar kepada Perdana Menteri.

Beliau yang cukup yakin dengan keupayaan calon berkenaan yang merupakan anak Samarahan berharap rakyat khasnya pengundi di kawasan itu akan memberikan sokongan penuh kepada calon tersebut nanti.

“Saya cukup yakin calon ini akan dapat berkhidmat dengan baik untuk rakyat di Samarahan ini dan saya berharap anda semua akan memberi sokongan penuh kepada calon ini kelak.

“Saya pasti semua anda di sini telah mengetahui siapa calon yang saya maksudkan ini kerana calon ini telah dipilih mengikut hasrat hati rakyat Samarahan sendiri,” katanya.

Taib yang juga Pengerusi BN Negeri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebelum ini mendedahkan PBB akan menampilkan seorang muka baharu wanita pada PRU13. Calon tersebut difahamkan akan menggantikan penyandang bagi Parlimen Samarahan, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib yang tidak lagi berminat untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Pegawai Daerah Asajaya Rubiah Wang yang merupakan anak Samarahan dikhabarkan sebagai calon berpotensi yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Samarahan yang merupakan kubu kuat BN.

Demi kestabilan dan kedaulatan negeri dan negara, Taib turut meletakkan harapan yang besar kepada rakyat agar memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperolehi undi majoriti dalam PRU13.

Beliau yang yakin dengan kewibawaan Perdana Menteri berkata, kehidupan rakyat akan lebih makmur dan sejahtera sekiranya rakyat memberikan mandat kepada pemimpin nombor satu negara itu.

“Saya tahu rakyat tidak akan percaya dengan propaganda pembangkang. Tolak perkara yang remeh dan ambil kira perkara penting iaitu siapa yang dapat menjamin pembangunan negeri dan negara pada PRU13 akan datang,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan di Samarahan, Taib berkata banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh 40 tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi kawasan tersebut.

Dalam tempoh itu, katanya, Samarahan telah berubah daripada sebuah perkampungan kecil yang sukar dihubungi kepada pusat pendidikan yang melahirkan ramai graduan.

Malah, katanya, dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas, peruntukan daripada kerajaan pusat dan negeri kepada Samarahan telah mencecah sehingga RM1.2 bilion bagi pelbagai projek pembangunan.

“Sebab itu, saya meminta kepada semua rakyat di negeri ini mengundi BN agar Perdana Menteri mendapat majoriti sebanyak-banyaknya untuk meneruskan agenda pembangunan negara kita,” katanya.

Taib pada majlis itu turut menyampaikan simbolik Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada beberapa orang penerima.

Turut hadir Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Muda Belia Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Julaihi Narawi serta yang lain.