Monday, April 12

Mustapa harap senarai calon UMNO Kelantan diumum awal

0

KOTA BAHARU: UMNO Kelantan berharap pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan lebih awal senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bagi negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Pengumuman awal itu penting bagi membolehkan calon terlibat membuat persediaan lebih awal seperti melepaskan jawatan dan melaksanakan urusan keluarga.

“Pada prinsipnya UMNO Kelantan masih berharap cadangan itu dipertimbangkan … terserahlah kepada pucuk pimpinan parti bila masa sesuai untuk umum senarai calon bagi negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program ‘My Beautiful Malaysia’ peringkat negeri Kelantan di rumah pangsa Buloh Kubu, di sini semalam.

Mustafa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengulas demikian ketika ditanya bilakan BN Kelantan akan mengumumkan senarai nama calon yang akan bertanding pada PRU13 nanti.

Katanya, BN Kelantan telah menyerahkan kepada peringkat pusat cadangan tiga nama bagi setiap kawasan merangkumi 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kawasan Parlimen.

“Bagi kita (BN) peringkat negeri tidak jadi masalah,…sudah pun menyiapkan senarai nama calon itu kepada pucuk pimpinan, hanya tunggu bila masa yang sesuai diumumkan sebagaimana cadangan kita itu,” katanya.

Ditanya mengenai sikap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa mengeluarkan kenyataan tidak konsisten, Mustapa berkata kenyataan pemimpin PKR itu sentiasa berubah mengikut keadaan dan masa.

“Semua kenyataan Anwar berbeza antara satu tempat dan satu tempat lain serta mengikut kesesuaian audien, misalnya hari ini dia cakap dengan pemimpin luar negara seperti Australia lain… dengan pemimpin Israel pula lain dan dengan rakyat di bawah lain pula.

“Ia lebih kepada untuk menjaga hati siapa yang berhadapan dengan dia (Anwar) ketika itu,” katanya. — Bernama