Pelbagai isu di Limbang akan terus ditangani

0

LIMBANG: Jawatankuasa Kebajikan Ketua Masyarakat/Ketua Kaum Islam yang berperanan sebagai tulang belakang masyarakat Islam di daerah ini akan terus berusaha menangani pelbagai isu termasuk perpaduan, kesihatan, kebajikan dan masalah sosial di sini.

Pengerusinya Pemanca Alie Jahar berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut amat penting dalam memastikan kebajikan masyarakat Islam terus terpelihara ketika mendepani pelbagai isu mendatang.

Penubuhan jawatankuasa tersebut, menurutnya, juga penting agar perpaduan dan kerjasama dalam kalangan mereka terus kukuh bukan sahaja sesama masyarakat Islam, malah dengan agensi kerajaan lain.

“Bagi tahun ini, kita sudah bersedia untuk menangani isu dan cabaran yang dihadapi mereka termasuk isu kesihatan dengan menangani masalah denggi di setiap kampung.

“Ketua masyarakat dan ketua kaum sudah diarah agar mengemukakan laporan kepada jawatankuasa mengenai tahap kebersihan kawasan masing-masing bagi mengelak penularan penyakit denggi,” katanya kepada Utusan Borneo selepas menyerahkan sumbangan kepada enam mangsa kebakaran di Kampung Pemukat semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Ketua Masyarakat/Ketua Kaum Islam Limbang Penghulu Abdullah Osman, Penghulu Dulaphi Bakir dan Ketua Kampung Pemukat Ahmad Salim.

Dalam insiden 25 Januari lepas, sebanyak 11 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh buah rumah mereka dijilat api dalam satu kebakaran di Kampung Pemukat.

Kejadian kali kedua itu menyebabkan mangsa terpaksa menumpang sementara di rumah saudara dan ada sebahagian daripada mereka menetap di asrama Dewan Suarah.

Insiden kebakaran awal pagi itu juga menyebabkan mangsa tidak sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting yang turut ranap bersama kediaman mereka.