Malaysia capai status negara maju menjelang tahun 2020

1

LIMBANG: Malaysia mampu mencapai status kumpulan negara-negara maju menjelang 2020, hasil kepelbagaian program transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara cekap dan teratur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata kerajaan berjaya membuktikan keupayaannya mentadbir negara ini secara terancang berbanding negara yang sudah lama merdeka.

Dr Rahman berkata transformasi yang dilakukan Najib  menyaksikan pengurusan negara dilakukan dengan cekap dan ekonomi dapat dipacu dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“Kita yakin dengan segala program transformasi yang dilakukan Perdana Menteri, Malaysia boleh memasuki senarai kumpulan negara maju dalam tempoh lapan tahun lagi,” katanya pada Program Sepakat Komuniti 1Malaysia (K1M) Daerah Limbang 2013 di Dataran Jubli Emas, di sini semalam.

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Maria Hasman, Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat, Pegawai Penerangan Bahagian Mohd Azlan Charles Abdullah dan wakil K1M Daerah Limbang Bungsu Tambah.

Beliau berkata meskipun negara dilanda masalah termasuk pencerobohan daripada penganas di Lahad Datu Sabah, Najib mampu mengatasi dengan baik termasuk berdiplomasi dengan negara Filipina.

Dr Rahman menambah, sudah jelas kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) terbukti membawa pelbagai pembangunan, perubahan dan kemajuan yang membawa manfaat positif kepada keseluruhan rakyat.

“Malah segala perubahan ini dilakukan secara teratur dan apa yang penting perubahan ini diterima oleh segenap lapisan rakyat.

“Kerajaan tidak mahu melakukan segala perubahan mendadak seperti yang dilakukan Pakatan Rakyat (PR) yang melaungkan slogan Jom Ubah terhadap kerajaan yang selama ini pesat membangun,” ujarnya.

Dr Rahman menjelaskan bahawa PR mahu kerajaan yang ada sekarang berubah secara mendadak walaupun pada dasarnya ia sudah diterima dan disenangi rakyat.

“PR jelas membuktikan mereka sebenarnya tidak sepakat kerana mempunyai ideologi dan hala tujuan berlainan bukan seperti BN.

“BN walaupun mempunyai 14 parti yang bernaung di bawahnya tetapi mereka sepakat dan mempunyai entiti sah di bawah lambang BN itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, PR tiada entiti sebagai lambang mereka kerana menggunakan lambang parti masing-masing.

Oleh itu, beliau mahu rakyat mengekalkan kerajaan yang ada sekarang termasuk memberi mandat penuh kepada BN memimpin negara ini pada Pilihan Raya Umum yang diadakan tidak lama lagi.